Idli dibentuk pada batang aiskrim cetus 'perang' Twitter
Astro Awani
Oktober 2, 2021 13:17 MYT
Oktober 2, 2021 13:17 MYT
APABILA menyebut idli, pasti akan terbayang akan warnanya yang putih dan teksturnya yang lembut dan gebu.
Makanan berasaskan kacang dal dan beras dalam bentuk bulat itu diperkenalkan sebagai hidangan sarapan yang berasal dari India selatan.
Kadang-kadang dipanggil ithili, apam India mahupun kek beras kukus, ia memang lazat apabila dimakan bersama chutni, sambal atau kuah dal mahupun kari.
Idli sememangnya tidak asing bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia dan Singapura kerana komuniti India yang meneruskan warisan kulinari di dua negara ini juga mempunyai pertalian dengan India selatan.
Tidak hairanlah, sama seperti kebiasaan meraikan variasi makanan berbilang bangsa, hidangan itu juga dikenali dan digemari oleh masyarakat pelbagai lapisan usia dan latar budaya.
Lain pula ceritanya baru-baru ini, apabila tertular gambar hidangan sarapan popular India itu, hingga mencetuskan ‘perang’ di Twitter.
Ia menunjukkan idli yang dibentuk pada batang aiskrim dan ‘dicelup’ ke dalam kuah kacang lentil.
Bagi yang menyukai pembaharuan, perkara sebegitu dilihat sebagai suatu yang menarik, namun bagi mereka yang menghargai budaya dan tradisi, gambar itu sudah cukup mencetuskan rasa tidak puas hati.
Difahamkan, gambar itu berasal dari Bengaluru.
Anand Mahindra, seroang Ketua Pengarah Eksekutif sebuah syarikat kumpulan di India, Mahindra & Mahindra, telah menghantar gambar itu dalam akaun Twitternya dan meminta pengikutnya mengulas tentang ‘kreativiti’ hidangan itu.
Respons yang diterimanya terbahagi dua. Ada yang mengalu-alukan inovasi itu dan memuji Bengaluru sebagai merintis hidangan India ke tahap yang baharu.
“Saya menyukainya, Tak perlu guna tangan, sudu atau garpu. Terus saja dari batang pemegangnya,” ujar seorang pengikut Anand
Tidak kurang juga yang mengatakan ia suatu yang ‘menghina’ makanan tradisi, dan tidak seharunya idli dihidang seperti itu.
“Sudahlah, cukuplah sebelum ini ada hidangan lain yang cuba diperbaharui dengan cara yang aneh. Sekarang, idli pula mahu dirosakkan,” ujar seorang pengikut.
“Mengapa? Mengapa perlu dibuat begitu?” keluh seorang lagi.
Tahun lalu, satu ciapan daripada seorang ahli akademik dari United Kingdom, yang mengatakan idli adalah 'makanan paling bosan di dunia', telah mencetus kemarahan warga India sekali gus membawa kepada perdebatan tentang budaya kulinari.
Walau apapun, memang tidak dapat dinafikan, setiap kali ada sesuatu yang baharu diperkenalkan, pasti ada pelbagai pendapat dan pandangan. Bagi anda yang menggemari idli di Malaysia, apa pendapat anda tentang ini?
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !