'Iceberg' terbesar dunia, separuh saiz negeri Kedah kini hanyut di lautan

Agensi
Mei 23, 2021 13:59 MYT
Dikenali sebagai A-76, keluasan permukaan bongkah ais tersebut adalah 4,320 kilometer persegi, lebih besar daripada Mallorca di Sepanyol, lebih besar daripada Perlis dan hampir separuh daripada keluasan Kedah. - Gambar REUTERS
PASTI ramai yang pernah menonton filem Titanic bukan?
Semua tahu, kapal besar yang dikatakan tidak akan tenggelam itu karam selepas melanggar bongkah ais besar di lautan.
Tahukah anda, saban tahun pasti akan ada bongkah ais baru yang terbentuk, terpisah daripada bongkah asal yang jauh lebih besar.
Terbaharu, sebuah bongkah ais terbesar di dunia - panjang 175 kilometer, lebar 25 kilometer - terpisah dari lokasi asalnya di Antartika dan kini hanyut di Laut Weddell, menurut Agensi Angkasa Eropah.
Dikenali sebagai A-76, keluasan permukaan bongkah ais tersebut adalah 4,320 kilometer persegi, lebih besar daripada Mallorca di Sepanyol, lebih besar daripada Perlis dan hampir separuh daripada keluasan Kedah.
Saiz A-76 jauh lebih besar daripada A-23A yang sebelum ini merupakan bongkah ais paling besar (permukaan kira-kira 3,380 kilometer persegi) yang juga masih hanyut di Laut Weddell.
Satu lagi objek sama dari Antartika yang mengancam sebuah pulau habitat penguin di selatan Amerika Selatan telah kehilangan sebahagian besar jisimnya dan pecah, kata saintis awal tahun ini.
A-76 pertama kali dikesan oleh Kajian Antartika Britain dan disahkan oleh Pusat Ais Nasional Amerika Syarikat yang berpangkalan di Maryland.
Kehadiran bongkah ais itu dikesan menggunakan gambar dari Copernicus Sentinel-1, yang terdiri daripada dua satelit yang mengorbit kutub.
Menurut saintis, beberapa bongkah ais yang lebih jauh dari Kutub Selatan telah mengalami proses pecah dan terpisah daripada lokasi asal dengan lebih cepat sejak beberapa tahun lepas.
Mereka percaya, fenomena tersebut ada kaitan dengan pemanasan global.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#bongkah #ais #iceberg #Antartika #Titanic #filem #santai hujung minggu #Amerika Syarikat #Kedah #Perlis #Britain #sepanyol #karam #kapal
;