Ibu hamil pelihara kucing berisiko alami kemurungan selepas bersalin - Kajian
Gempak
Julai 28, 2022 12:07 MYT
Julai 28, 2022 12:07 MYT
SATU kajian baharu mendapati memiliki kucing ketika hamil boleh meningkatkan risiko ibu mengalami kemurungan selepas bersalin (meroyan).
Pemilik kucing yang hamil juga berisiko mendapat toksoplasmosis parasit, yang menyebabkan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan keguguran, anomali bayi atau gangguan otak.
Penulis utama Kenta Matsumura berkata: “Kami mendapati bahawa jenis haiwan peliharaan yang dimiliki boleh memberi kesan kepada kesihatan mental ibu, baik dalam tempoh peranakan dan selepas bersalin.
“Perhatian khusus mesti diberikan kepada pemilik kucing, yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan mental serta toksoplasmosis,” katanya.
Kajian terdahulu telah melihat hubungan antara kepemilikan haiwan peliharaan dan kesihatan mental dari demografi yang berbeza.
Namun, tidak banyak yang menyasarkan wanita di sekitar proses bersalin, ketika mereka memiliki kerentanan tinggi terhadap gangguan kesihatan mental.
Pasukan Matsumura telah mereka bentuk soal selidik untuk menyiasat bagaimanakan pemilikan haiwan peliharaan mempengaruhi kesihatan mental wanita hamil.
Maklumat dikumpul mengenai topik termasuk status demografi dan sosioekonomi, sejarah perubatan dan obstetrik, kesihatan fizikal dan mental serta gaya hidup.
Soal selidik telah dijalankan bersama 80,814 ibu di kawasan bandar dan luar bandar Jepun, yang memiliki sama ada anjing atau kucing semasa mengandung.
Kajian tersebut dibuat sebanyak lima kali - trimester pertama, trimester kedua atau ketiga, dan pada satu bulan, enam bulan, dan satu tahun selepas bersalin.
Penemuan yang diterbitkan bulan ini menerusi Sains Sosial & Perubatan mendedahkan yang memiliki anjing semasa hamil dikaitkan dengan pengurangan gejala kemurungan dan kebimbangan pada satu bulan dan enam bulan selepas bersalin.
Ibu baharu dengan anjing juga menunjukkan tanda-tanda tekanan psikologi yang berkurangan pada 12 bulan selepas bersalin.
Sebaliknya, pemilikan kucing pula dikaitkan dengan peningkatan risiko gejala kemurungan pada enam bulan selepas bersalin.
Gejala tekanan psikologi pada trimester kedua atau ketiga kehamilan juga diperhatikan untuk pemilik kucing hamil dan pemilik anjing hamil.
Penulis kajian membuat kesimpulan bahawa jenis haiwan peliharaan yang dimiliki semasa mengandung memang memainkan peranan dalam kesihatan mental ibu sebelum dan selepas bersalin. -Gempak