Ibu empat anak cipta rekod MBOR berkayak lebih 360km

Bernama
Januari 3, 2021 17:23 MYT
Nur Adila berkata beliau terpaksa berdepan arus deras yang menyebabkan jarak dayungannya melebihi sasaran. - Twitter/bernamadotcom
BAGAN DATUK: Pendayung kayak solo wanita, Nur Adila Abu Hasan melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menongkah arus Sungai Perak sejauh 361.4 kilometer (km) selama tujuh hari.
Nur Adila, 38, memulakan Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 di Tasik Banding, Gerik pada 27 Disember lepas dengan menyusuri Sungai Perak dan tiba di Beting Beras Basah di sini kira-kira 9.30 pagi, semalam.
Ibu kepada empat orang anak dan bekerja sebagai pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian Perak, Ipoh berkata dayungan itu merupakan sebahagian daripada beberapa misi yang dilakukannya sebelum ini bagi memenuhi minat terhadap sukan lasak itu.
Berkongsi cabaran dihadapi, Nur Adila berkata beliau terpaksa berdepan arus deras yang menyebabkan jarak dayungannya melebihi sasaran.
"Pada mulanya sasaran dayungan sejauh 350 km jika mengikut aliran arus biasa, namun semasa di Empangan Kenering, Lenggong aliran air lebih deras, menyebabkan melebihi sasaran. Saya bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dengan jarak paling jauh adalah sepanjang 80 km dari Kenering ke Kuala Kangsar," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 yang dirasmikan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Dataran Bagan Datuk di sini hari ini.
Pada majlis itu, Nur Adila menerima sijil pengiktirafan daripada Penyelidik Analisis MBOR Nurul Fatihah Mahmood sambil disaksikan Penaung Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.
Nur Adila yang mula berkayak sejak 2017 mengambil masa kira-kira setahun untuk membuat persediaan kerana latihan di lapangan terpaksa ditangguhkan sementara susulan wabak COVID-19 sebaliknya diganti dengan latihan di gimnasium dan aktiviti sukan lain.
"Ekspedisi kali ini memang mempunyai cabaran tersendiri antaranya saya tersangkut di dalam lumpur sehingga paras pinggang. Saya terpaksa menggoyangkan badan selama 20 minit bagi memudahkan pergerakan dan masuk ke dalam kayak semula untuk meneruskan misi.
"Pengalaman itu menjadi kenangan manis dan mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa," katanya sambil menambah akan melakukan misi dayungan seterusnya bersama seorang rakan, Saidatul Atiqa Md Isa, 31, di Danau Toba, Indonesia tahun ini.
-- BERNAMA
#pendayung kayak #nur adila abu hasan #Malaysia Book of Records #mbor #sungai perak #sukan #rekreasi #rekod malaysia #pendayung solo
;