"Ia merupakan 'wake-up call' buat semua" - Rico Rinaldi kongsi survival industri fesyen di kala pandemik

Asyraf Roslan
Februari 21, 2021 22:11 MYT
Rico Rinaldi tetap berikan yang terbaik kepada pelanggannya meskipun berdepan pelbagai cabaran di saat pandemik COVID-19 melanda Malaysia. - Astro AWANI
SETAHUN sudah pandemik COVID-19 melanda Malaysia dan hampir setahun juga Malaysia menjalani kehidupan norma baharu.
Demi memutuskan penularan COVID-19, kerajaan telah mengambil langkat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pelaksanaan ini sedikit sebanyak memberi impak kepada ekonomi.
Ada yang bernasib baik dan tidak kurang juga yang terpaksa akur dengan dugaan ini.
Bagi pereka fesyen tanah air, Rico Rinaldi, apa yang berlaku kini merupakan satu “wake-up call” buat semua termasuk mereka yang berada dalam industri fesyen.
"Ini merupakan satu wake-up call, jadi apabila pandemik ini berlaku, saya terus menyusun strategi untuk memperkukuhkan perniagaan saya.
"Saya juga keluarkan produk mampu milik, kerana kita tahu semasa PKP berlangsung, ramai yang lebih berjimat cermat.
"Di samping itu, saya juga melancarkan aplikasi mobil sendiri, bagi memudahkan pembeli untuk mendapatkan barangan keuaran saya," katanya semasa sesi IG LiVE bersama Astro AWANI.
Rico bukan sahaja mereka koleksi Ready To Wear (sedia dipakai) dan busana Raya, malah beliau juga merupakan seorang pereka busana perkahwinan.
Menurut Rico, di sini perjalanannya sedikit mencabar kerana perancangan yang berubah dari semasa ke semasa kerana pelaksanaan PKP berubah ke Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB) dan seterusnya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Namun, sebagai pereka fesyen dia tetap memenuhi setiap permintaan pelangganya yang bakal menuju hari bahagia.
"Selalunya, baju akan ditempah tiga bulan sebelum majlis berlangsung. Apabila jadi kes seperti ini, ia sudah tentu sedikit kacau, namun kami tetap berusaha sebaik mungkin untuk buat yang terbaik bagi pasangan pengantin," tambah Rico.
Ikuti temu bual penuh bersama Rico Rinaldi.
#IG LiVE Session #Rico Rinaldi #COVID-19 #Hapus COVID-19 #Instagram #Astro Awani #PKP #pereka fesyen
;