Hutang 'keliling pinggang', Jamie Oliver di ambang kejatuhan?

Agensi
Februari 12, 2018 06:32 MYT
NJamie Oliver seolah-olah tercalar apabila empayar restorannya, Jamies Italian dilaporkan menanggung hutang sebanyak £71.5 juta. - Gambar fail/REUTERS
JAMIE Oliver adalah satu nama yang tidak asing dalam bidang kulinari, di mana beliau cukup terkenal dengan kebolehan memasak dan berkomunikasi dengan baik di hadapan kamera.
Namun, kini nama Jamie Oliver seolah-olah tercalar apabila empayar restorannya, Jamie’s Italian dilaporkan menanggung hutang sebanyak £71.5 juta (RM390 juta).
Menurut portal Metro.uk yang memetik laporan The Sun, Oliver kini turut berhutang £2.2 juta (RM11.99 juta) dengan pekerjanya dan pada tahun lalu, Jamie’s Italian mencatat kerugian sebanyak £10 juta (RM54.5 juta).
Akhbar tersebut turut melaporkan Jamie’s Oliver turut mempunyai hutang pinjaman dan overdraf sebanyak £30.2 juta (RM165 juta) dan mempunyai hutang dengan pemiutang lain berjumlah £41.3 juta (RM225 juta).
Selain itu kesemua syarikat pembekal kepada rantaian restorannya turut dilaporkan mengalami bebanan hutang berjumlah £400,000 (RM2.2 juta).
Jamie’s Italian yang mempunyai sejumlah 37 cawangan di seluruh United Kingdom dan 28 cawangan di luar negara terpaksa menutup 12 cawangan restorannya di United Kingdom bagi tujuan membaik pulih ekonomi syarikat.
Antara cawangan yang bakal berhenti beroperasi adalah Bristol, Harrogate dan Kingston dan keadaan ini bakal menyaksikan 450 pekerjanya akan hilang pekerjaan.
Antara faktor yang menyumbang kepada kerugian besar empayar ini ialah disebabkan lokasi baru yang tidak sesuai selain dari kos sewa yang tinggi.
#Bristol #Harrogate #hutang #Jamie Oliver #Jamie's Italian #Kingston #rugi #tutup
;