'Hubungi rakan anda, tanya khabar dan beritahu.. anda sayangkan mereka' - Henry Golding

Nickyson Nyambar
Julai 3, 2021 07:42 MYT
HENRY GOLDING: Pendekatan ambil berat sebenarnya dapat membawa perubahan yang besar terhadap kesihatan mental dan emosi seseorang. -Gambar Instagram @henrygolding
"HUBUNGI rakan anda, tanya khabar dan beritahu, anda sayangkan mereka."
Demikian pesanan pelakon dan selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia, Henry Golding, dalam laman Instagramnya, khas menyentuh isu kesihatan mental termasuk isu bunuh diri yang dikatakan semakin serius dalam masyarakat ketika ini.
Menujukan mesej berkenaan kepada rakyat Malaysia yang dianggap sebagai rakan, kata beliau, pendekatan ambil berat seperti itu sebenarnya dapat memberi perubahan yang besar terhadap kesihatan mental dan emosi seseorang.
Jelasnya, tempoh pandemik COVID-19 ketika ini jelas membuatkan masyarakat dihimpit dengan pelbagai cabaran yang tidak disangka, justeru ramai yang secara senyap bertarung dalam meneruskan kelangsungan hidup.
"Satu perkara yang kita ambil mudah ialah kesihatan mental, kerapuhan emosi. Ia adalah antara perkara yang kita selalu terlepas pandang.
"Saya berasakan bunuh diri itu sudah menjadi aspek yang benar terjadi dalam kehidupan.
"Ada yang kehilangan kerja, tidak berjumpa dengan rakan atau yang tersayang dalam jangka masa yang lama.
"Ketika ini amat sukar untuk bertemu dengan sesiapa sahaja dan tidak hairan pemikiran itu boleh berubah kepada sesuatu yang gelap," kata teraju utama filem 'Snake Eyes' itu.
Ujarnya lagi, masalah bunuh diri boleh berpunca daripada pelbagai faktor.
Oleh yang demikian, beliau menyeru orang ramai untuk mengambil peduli tentang keluarga mahupun rakan terdekat dengan menyampaikan mesej mudah seperti bertanyakan khabar.
"Apa yang saya ingin orang ramai lakukan adalah sangat senang. Fikirkan tiga rakan yang anda rasa memerlukan mesej ringkas dan hubungi mereka.
"Panggilan seperti itu.. katakan tiga ke empat minit, hanya untuk bertanya bagaimana keadaan mereka.
"Jangan hanya lakukan panggilan biasa, tanya mereka betul-betul bagaimana mereka berdepan dengan segalanya.
"Bayangkan menerima panggilan atau mesej daripada seseorang yang mengatakan mereka memikirkan anda?
"Ia boleh membawa satu perubahan drastik terhadap emosi dan mental seseorang individu itu," kata beliau.
Dalam masa yang sama, ujar jejaka kacukan Iban-Inggeris ini, ada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sedia membantu mana-mana individu yang memerlukan sokongan moral ketika tempoh sukar ini termasuk Befrienders Kuala Lumpur.
"Talian @befrienderskl adalah 03-7627 2929.
"Satu perkara yang saya ingin katakan kepada anda semua, ada yang memikirkan anda, ada yang peduli dan bimbang dengan keadaan diri anda," kata Henry.
#Henry Golding #pelakon #Snakes Eyes #kesihatan mental #pandemik #COVID-19 #bunuh diri #mesej untuk rakyat malaysia
;