Hublot perkenal edisi terhad jam tangan sempena sambutan 60 tahun merdeka

Azyyati Ahmad
Ogos 22, 2017 18:21 MYT
Edisi yang diberi nama Big Bang Merdeka itu beraspirasikan semangat tahun ke-60 kemerdekaan Malaysia bersama ciri-ciri warna Jalur Gemilang.
Jenama jam tangan mewah buatan Swiss iaitu Hublot berkolaborasi bersama The Hour Glass dalam memperkenalkan jam edisi terhad Big Bang sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Edisi yang diberi nama Big Bang ‘Merdeka’ itu beraspirasikan semangat ulang tahun ke-60 kemerdekaan Malaysia bersama ciri-ciri warna Jalur Gemilang.
Istimewanya, hanya 60 utas jam dikeluarkan bagi siri ini yang didatangkan dalam warna biru gelap dan bertatahkan seramik warna yang sama berdiameter 44mm.
Menurut Pengarah Besar The Hour Glass Teh Soon Keng, edisi itu diilhamkan pasukan penyelidikan dan pembangunan Hublot dan merupakan satu edisi penghormatan oleh Hublot dan The Hour Glass dalam memperingati detik bersejarah buat negara.
“Edisi istimewa ini dikeluarkan buat kali pertama oleh Hublot dan hanya boleh dijual di Malaysia. Antara ciri yang menarik mengenai edisi ini adalah nombor 60 dari ukiran emas menghiasi permukaan horologi jam sebagai rujukan ulang tahun ke-60 kemerdekaan.
“Selain itu, edisi ini juga menggunakan bahan inovatif terbaharu iaitu seramik biru dan didatangkan bersama tali kulit buaya, dihiasi dengan jahitan emas sebagai lambang warna biru dan kuning di Jalur Gemilang,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Pelanggan juga berpeluang untuk mendapatkan kotak jam eksklusif dari Hublot pada setiap pembelian yang bermula 29 Ogos ini.
Edisi eksklusif ini katanya, hanya akan dikeluarkan pada tahun ini dan ia boleh didapatkan di butik Hublot di Suria KLCC dan kesemua butik The Hour Glass di Malaysia.
#60 Jalan Merdeka #Big Bang 'Merdeka' #Big Bang Merdeka #hublot #Jalur Gemilang #Merdeka #Teh Soon Keng #The Hour Glass
;