Hotel Ibis Styles Kota Bharu berlatarkan Sungai Kelantan yang mengimbau nostalgia

Muhafandi Muhamad
September 15, 2023 20:48 MYT
Hotel Ibis Styles Kota Bharu yang berlatarkan Sungai Kelantan dan Jambatan Sultan Yahya Petra ini menawarkan harga penginapan berpatutan. - Foto: Ibis Styles Hotel
KOTA BHARU: Panorama Sungai Kelantan yang kaya dengan elemen sejarah dan nostalgia meletakkan Hotel Ibis Styles Kota Bharu sebagai destinasi penginapan yang wajar menjadi pilihan ramai apabila bertandang ke Kelantan.
Kedudukannya di Jalan Sultanah Zainab bersebelahan Istana Kota Lama, dengan jarak kurang 1 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu, menjadikan hotel itu tersergam megah di lokasi strategik.
Menurut Pengurus Besar hotel Ibis Styles Kota Bharu, Zac Harun, hotel yang menghadiahkan latar belakang Sungai Kelantan dan Jambatan Sultan Yahya Petra itu mampu dihuni oleh sesiapa sahaja kerana harga bilik yang ditawarkan adalah sangat berpatutan.
"Ibis Styles Kota Bharu ini terletak bersebelahan dengan Sungai Kelantan yang ikonik serta kaya dengan ciri bersejarah. Dahulunya Sungai Kelantan berperanan sebagai sungai medium atau penghubung bagi penduduk sebelah Tumpat untuk datang berniaga di Kota Bharu.
"Selain Ibis Styles Kota Bharu muncul sebagai hotel paling baharu di Kelantan, ia juga adalah salah satu hotel yang pertama menyediakan kemudahan stesen EV kepada pengunjung yang membawa kenderaan elektrik, dan kami adalah pelopor stesen EV di Kelantan," jelasnya.
Bercakap tentang kapasiti tetamu, Ibis Styles Kota Bharu menawarkan 130 bilik penginapan termasuk bilik yang mesra orang kelainan upaya (OKU), kolam renang berlatar belakang pemandangan ibu negeri, dewan acara dan restoran untuk keselesaan pengunjung.
Tambahnya, selain perkhidmatan caj EV untuk kenderaan, pengalaman yang bernilai tambah di hotel itu antaranya adalah penyediaan kemudahan mesin kopi yang di dalam bilik penginapan, pengecas telefon tanpa kabel dan water dispenser di setiap bilik.
Selari dengan amalan baik di banyak hotel antarabangsa, langkah penggunaan water dispenser bagi menggantikan penggunaan botol air minuman adalah sebagai menyokong kempen tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Zac memaklumkan, Hotel Ibis Styles Kota Bharu yang secara rasmi membuka pintunya pada Disember 2020 lalu, dengan gaya moden kontemporari, akan memberikan satu pengalaman istimewa kepada setiap tetamunya.
Hotel Ibis Styles Kota Bharu
#ibis styles kota bharu #Penginapan #hotel #pelancong #kembara
;