Honda CBR250RR minta laluan jadi 'King' dalam kelas 250cc
Afiezy Azaman
Disember 19, 2020 13:04 MYT
Disember 19, 2020 13:04 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah hampir empat tahun peminat motosikal di Malaysia menunggu kehadiran CBR250RR akhirnya Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan model itu, pada Jumaat.
Berita lebih baik ialah CBR250RR yang dilancarkan itu adalah versi terbaru diperkenalkan di Jepun tahun lalu yang hadir dengan kuasa yang lebih tinggi dan dilengkapi quickshifter.
Model 250cc ini menjadi pencabar kepada Yamaha R25 yang telah lama bertapak di Malaysia dan kemungkinan akan menggugat status Yamaha R25 sebagai raja dalam kelas yang sama selagi mana Kawasaki ZX25R tidak berada di pasaran Malaysia.
Motosikal supersports permulaan ini dikuasakan oleh enjin dua silinder, DOHC penyejukan cecair, bersama gabungan transmisi enam kelajuan serta klac assist/slipper, mampu menghasilkan kuasa 40 hp pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork 11,000 rpm.
Lebih menarik, berbanding Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha R25, CBR250RR satu-satunya dalam kelas 250cc mempunyai tiga mod tunggangan.
Antara spesifikasi lain termasuk fork USD, sistem pendikit ride-by-wire dan brek cakera depan serta belakang dilengkapi sistem ABS.
Muka hadapan yang garang dan sporty model ini dilengkapkan dengan lampu utama LED lapisan berkembar, speedometer digital dan ekzos berkembar.
Boon Siew Honda Malaysia turut memberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000km.
Manakala terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.
Harga CBR250RR berjumlah RM25,999 sedikit tinggi berbanding Kawasaki Ninja 250 (anggaran RM23,000) dan Yamaha R25 (anggaran RM19,999).
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#CBR250RR
#motosikal
#Boon Siew Honda
#Jepun
#Yamaha R25
#Kawasaki ZX25R
#DOHC
#speedo digital
#Winning Red
#Mat Gunpowder Black Metallic