Himpunan laksa pelbagai negeri, 'hantu laksa' serbu Pesta Laksa Kuale

Bernama
Jun 3, 2023 08:03 MYT
Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah (dua, kanan) berkenan melawat gerai jualan Laksa Kuale ketika berangkat tiba ke Program Pesta Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar, 2 Jun 2023. --fotoBERNAMA
KUALA KANGSAR: Bagi penggemar laksa tentunya mengetahui makanan unik ini terdapat dalam banyak versi, mengikut negeri-negeri di Malaysia.
Pastinya jika laksa-laksa dari setiap negeri dihimpunkan di satu tempat, 'hantu laksa' tidak akan melepaskan peluang mengunjunginya, bagi merasa semua laksa tersebut.
Pesta Laksa Kuale yang sedang berlangsung di Arena Kuala Kangsar di sini selama dua hari bermula semalam, menghimpunkan laksa dari 10 negeri, menawarkan pelbagai jenis laksa dengan keenakan dan keunikan masing-masing.
Seorang pengunjung dari Langkawi, Kedah, Anisah Mohd Nor, 35, berkata dia amat teruja apabila dapat berkunjung ke pesta yang mengumpulkan laksa dari pelbagai negeri itu.
"Saya bercuti bersama keluarga di Perak, kemudian saya lihat iklan berkaitan pesta ini di Facebook, jadi kami sekeluarga datang ke sini untuk merasai pelbagai laksa.
"Saya paling tertarik dengan laksa Kuale, kerana saya tidak pernah rasa laksa yang diperbuat daripada tepung gandum. Rasanya lebih sedap berbanding laksa biasa," katanya ketika ditemui di Pesta Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar, di sini pada Jumaat.
Seorang penjawat awam Khairul Affendi Mokhtar, 56, berkata dia sering mengikuti pesta sebegini kerana dia merupakan 'hantu laksa'.
"Tahun lepas ada Temasya 99 Laksa Kuale di sini, saya hadir bersama keluarga. Tahun ini saya hadir juga kerana kelainannya, kali ini ada pelbagai negeri berbanding tahun lepas yang menghimpunkan 99 peniaga laksa di Kuala Kangsar," katanya.
Bagi peniaga laksa, Umi Kalsom Bakri, 56, laksa Kuala Kangsar atau laksa Kuale menawarkan rasa dan keunikan tersendiri.
Antara keistimewaan laksa Kuale ialah bahan utamanya iaitu mi laksa itu diperbuat dari tepung gandum berbeza dari laksa negeri lain.
Umi Kalsom yang telah mengusahakan laksa Kuale selama 15 tahun berkata laksa tepung gandum, kini boleh didapati di kedai-kedai runcit tanpa perlu menghabiskan masa membuatnya sendiri di rumah.
"Kuahnya juga biasanya diperbuat daripada isi ikan. Tempat lain selalunya mengandungi belacan dan dihidangkan bersama nenas. Keenakkan laksa sebenarnya terletak pada kuahnya yang mengandungi isi ikan yang tebal, walaupun dikombinasikan dengan apa jua jenis laksa," katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha laksa Sarawak Jamaiyah Sulaiman, 55, diterbangkan jauh dari Bumi Kenyalang dalam usaha mempromosikan laksa Sarawak kepada pengunjung khusunya di Semenanjung.
"Antara kelainannya, laksa di Semenanjung banyak menggunakan isi ikan tapi di Sarawak, kita menggunakan rempah ratus tersendiri dan ada pes khas.
"Laksa Sarawak menggunakan bihun bagi menggantikan laksa, yang lebih sedap dimakan bersama hirisan telur dadar, carikan isi ayam, udang, taugeh, limau kasturi dan daun ketumbar," katanya.
Chemah Omar, 60, dari Melaka yang memperkenalkan laksa Nyonya berkata laksa itu dimakan bersama bihun, dan kuahnya pula diperbuat dari udang kering dan udang segar.
"Telur rebus, bunga kantan dan daun kesum pula digunakan sebagai hiasan. Di Melaka, kita mempunyai pelbagai kaum antaranya Baba Nyonya, Portugis, Jawa dan Banjar.
"Kalau di sini ada laksa Kuale, tapi di tempat kami, kami ada laksa Nyonya yang menggunakan buah keras sebagai bahan utama kuahnya," jelasnya.
Acara yang dianjurkan kali kedua itu, bertujuan menyuntik semula ekonomi pelancongan daerah itu selepas terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan mengumpulkan pelbagai jenis laksa dan juga kuih-muih tradisional, daripada negeri-negeri di Malaysia dan 12 daerah di negeri Perak.
-- BERNAMA
#laksa #Pesta Laksa Kuale #Kuala Kangsar #makanan unik
;