Hentikan 'trend' perkahwinan tanpa kewangan yang kukuh
Afiqah Aisyah Saiful Bahar
Julai 11, 2019 16:54 MYT
Julai 11, 2019 16:54 MYT
IMPAK media sosial bukanlah lagi satu perkara yang boleh dipandang remeh.
Rata-rata ahli akademik di pelusuk dunia bersetuju bahawa sosial media mempunyai kuasa untuk memberi impak langsung terhadap pemikiran dan cara hidup pengguna.
Malah, platform media sosial kini dianggap sebagai satu medium untuk melaksanakan teori ‘social convention’, (iaitu satu kaedah menormalisasikan satu perbuatan) dan teori ‘agenda-setting’ (iaitu satu kaedah mengadaptasi pemahaman baru dalam komuniti) secara berkesan.
Sekiranya media sosial digunakan dengan cara yang salah oleh pihak tidak bertanggungjawab, ia boleh memberikan kesan yang berpanjangan dalam komuniti kita.
Antara satu kesalahan yang amat nyata kebelakangan ini adalah mernomalisasikan perkahwinan tanpa perancangan kewangan yang kukuh dalam kalangan anak muda.
Baru-baru ini, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah telah mengeluarkan satu statistik yang menunjukkan bahawa purata penceraian buat tahun lepas adalah sebanyak 156 pasangan pada setiap hari.
Manakala, menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembanggunan Keluarga Negara (LPPKN) pula, 1/3 daripada jumlah pasangan yang bercerai adalah terdiri daripada pasangan yang berkahwin tempoh kurang daripada lima tahun.
Sedia maklum buat kita bahawa secara majoriti, situasi kewangan keluarga buat kelompok ini masih berada dalam keadaan yang goyah dan tidak stabil.
Hal ini dapat dilihat melalui statistik tribunal perkahwinan Jabatan Pendaftaran Negara di mana ia menunjukkan bahawa masalah kewangan adalah antara punca utama kes penceraian di Malaysia.
Tiga konsep besar isu ini ialah, masalah penceraian, masalah kewangan dan juga kalangan pasangan muda.
Persoalannya, apakah solusinya?
Dua tahun lepas, satu perkahwinan anak muda menjadi tular di platform-platform media sosial, di mana dia menyatakan bahawa dia mampu berkahwin dengan berbekalkan wang sebanyak RM500 di tangan.
Malah pemuda itu juga memberitahu bahawa sejumlah besar daripada wang tersebut telah digunakan untuk perbelanjaan perkahwinannya.
Majoriti warga internet kagum dengan keberaniannya untuk mendirikan rumah tangga dengan keadaan kewangan yang sedemikian.
Malah ada yang memujinya dan menjadikannya idola sebagai individu yang berjaya berkahwin dengan simpanan yang sebegitu rupa.
Namun apabila dipersoalkan akan perancangan kewangannya seusai majlis perkahwinan, pemuda itu dengan mudahnya menjawab bahawa dia mengharapkan ikhsan ahli keluarga untuk menyediakan makanan dan tempat tinggal bagi mereka suami isteri pada hari yang akan datang.
Apabila dipertengahkan isu tanggungjawab suami terhadap menyediakan keperluan isteri, pemuda itu membalas bahawa tuhan akan sentiasa membantu individu yang berada di jalan yang benar.
Saya tidak menolak konsep bahawa tuhan akan memberi rezeki terhadap individu yang mendirikan rumah tangga, namun begitu, kita juga harus berpegang kepada satu ayat bahawa Allah S.W.T tidak membantu umatnya yang tidak berusaha.
Pelbagai surah dan hadis yang menggalakkan manusia untuk berusaha sebelum bertawakal. Sikap anak muda ini menunjukkan ketidakmatangan dan ketidaksediaan dalam menerajui kehidupan berkeluarga.
Perihal yang membimbangkan adalah apabila pemuda ini menjadi contoh terhadap ramai anak muda di sana.
Perkahwinan tidak seharusnya dipandang sebagai satu cara menghalalkan hubungan sahaja, malahan kita harus mempersediakan minda anak muda kita bahawa perkahwinan datangnya sebagai satu pakej yang dipenuhi dengan kasih sayang, kebahagian serta pengorbanan dan tanggungjawab.
Institusi kekeluargaan sudah pasti tidak dapat berdiri teguh tanpa pengorbanan dan sikap yang bertanggungjawab.
Bagi yang berfikir bahawa kes ini merupakan kes yang terpencil, di sini saya ingin mengetengahkan satu kes yang baru terjadi pada raya yang lepas.
Saya dalam persiapan untuk pulang ke kampung halaman apabila rakan saya meminta satu bantuan daripada saya.
Atas permintaannya yang agak pelik, saya secara tanpa sengaja persoalkan keberadaan suaminya.
Persoalan saya disambut dengan tangisan rakan saya yang memberitahu dia baru diceraikan atas alasan bakal isteri baharu suaminya memperoleh gaji yang lebih besar daripada rakan saya.
Dalam keadaan yang masih tidak jelas dengan situasi sebenar, saya mempersoalkan lagi,
Bagaimana jumlah gaji seorang isteri menjadi punca penceraian?
Persoalan saya disambut lagi dengan jawapan yang kurang senang apabila si suami memberitahu bahawa dia tidak selesa hidup dalam keadaan kekurangan di mana isterinya hanya dapat memberi sumbangan yang kecil dalam perbelanjaan keluarga mereka.
Hal seperti ini lagi sekali membuat saya mempersoalkan kesediaan para pemuda dalam mengendong tanggungjawab sebagai ketua dalam kehidupan berkeluarga.
Sudah jelas, kewangan memang memainkan salah satu peranan utama dalam kebahagian satu keluarga.
Kekurangan ilmu dalam perancangan dan pengurusan kewangan dalam kalangan anak muda merupakan satu penyumbang utama dalam faktor penceraian.
Dengan jumlah peningkatan kes penceraian masa kini, wajarlah kita menghentikan perbuatan menabur gula atas realiti kehidupan perkahwinan tanpa kewangan yang kukuh.
Perbuatan mernormalisasikan perkahwinan tanpa perancangan kewangan yang baik adalah satu perkara yang tidak bertanggungjawab.
Lagi-lagi apabila ia dikaitkan dengan potongan-potongan ayat agama yang menggalakkan perkahwinan antara umatnya.
Haruslah kita sedar bahawa untuk menyandarkan sesuatu perkara pada agama, kita harus melihat ia dari aspek yang menyeluruh.
Sekiranya kita memilih untuk bersandarkan suruhan agama secara selektif, (iaitu bergantung hanya pada saranan agama yang bersesuaian dengan kehendak kita, manakala dalam masa yang sama mengendahkan saranan yang tidak memberi faedah kepada kita), ia pasti akan memberi impak yang tidak seimbang.
Perbuatan ini mengingatkan saya terhadap sikap kumpulan pengganas ISIS yang cuba menyandarkan perbuatan kejam mereka sebagai satu saranan agama iaitu dengan memerangi individu yang menolak agama Islam.
Sedangkan terdapat pelbagai saranan agama yang menyatakan peperangan seharusnya dijalankan dengan cara berhemah, iaitu tanpa menyakiti wanita, kanak-kanak, memusnahkan tempat-tempat ibadah serta harus menerima dengan baik pihak lawan yang menyerah kalah.
Kelakuan mereka yang menggunakan agama untuk berkahwin tanpa bersedia menanggung tanggungjawab, tidak lain tidak bukan mencerminkan perbuatan ekstremis yang hanya menunggang agama.
Hentikan trend berkahwin tanpa perancangan pengurusan kewangan keluarga yang teguh.
Di sini saya ingin memberi sedikit cadangan yang boleh ditambahbaikkan dalam program kursus praperkahwinan yang mungkin sedikit sebanyak dapat membantu membendung perihal ini:
1. Isikan intipati ceramah kursus praperkahwinan dengan ilmu perancangan dan pengurusan kewangan.
2. Dedahkan para peserta dengan badan-badan yang mampu memberi khidmat nasihat dalam pembahagian harta, wasiat dan sebagainya.
3. Bantu para peserta merancang perbelanjaan kewangan yang bersesuaian dengan pendapatan mereka.
4. Galakkan penyimpangan wang buat kehidupan selepas majlis perkahwinan dalam kalangan peserta.
5. Tekankan rasa tanggungjawab menyediakan keperluan keluarga dalam kalangan pemuda.
Hentikan anak muda daripada terpengaruh dengan cerita-cerita manis oleh pasangan muda yang tiada pelan kewangan untuk kehidupan berumahtangga.
*Afiqah Aisyah Saiful Bahar merupakan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkelulusan Sarjana Perang Saraf Media dan Informasi.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#anak
#ISIS
#Islam
#keluarga
#Malaysia
#pemuda
#perkahwinan
#perkahwinan tanpa kewangan kukuh
#rumah