Henti suntikan payudara doktor tidak bertauliah

Faida Rahim
Jun 3, 2023 06:40 MYT
Dr Siti Muyassarah Rusli memaklumkan perkhidmatan yang menawarkan suntikan filler haram yang berleluasa di laman sosial dilihat amat membimbangkan. - Foto Instagram/@dr.muya
KUALA LUMPUR: Lumrah bagi seorang wanita untuk kelihatan menawan dari hujung rambut hingga ke kaki.
Malah ada yang sanggup memperjudikan nyawa dengan mendapatkan rawatan tanpa memikirkan kesan sampingan.
Sering kali kita melihat di dada akhbar mengenai rawatan membesarkan payudara agar kelihatan montok baik dalam kalangan wanita bujang atau yang sudah berkahwin, sama ada disebabkan payudara yang kecil, atau kendur.
Payudara akan mula mengendur apabila tisu di sekitarnya menjadi lemah.
Salah satu tisu yang menyokong bentuk dan struktur payudara adalah ligamen Cooper. Apabila ligamen ini menjadi lemah, payudara akan nampak kendur.
Malah, ligamen ini serta struktur di sekelilingnya juga akan meregang apabila usia semakin bertambah. Lama-kelamaan, payudara kita nampak melendut dan ‘jatuh’.
Pakar Bedah Plastik, Dr Siti Muyassarah Rusli memaklumkan perkhidmatan yang menawarkan suntikan 'filler' haram yang berleluasa di laman sosial dilihat amat membimbangkan.
“Pengguna yang ingin mendapatkan rawatan kecantikan payudara perlu berjumpa dengan pakar bedah plastik, bukan ‘tangkap muat’ dengan menjalani prosedur ‘sembarono’.
“Ada di antara pesakit saya yang datang ke hospital dengan keadaan payudara yang sudah bernanah, rosak malahan kecacatan melampau akibat komplikasi 'filler' payudara. Tidak salah untuk cantik pastikan guna saluran tepat dan dipercayai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah beliau, Jika sudah mengambil suntikan 'filler' pada payudara dan punggung, pengguna dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor pakar, untuk siasatan dan rawatan lanjut.
Pesakit yang telah mengambil suntikan ‘filler’ juga boleh mendapatkan khidmat pakar bedah plastik atau payudara yang bertauliah, dan perlu menjalani siasatan lanjut seperti ultrasound, MRI atau mammogram kerana perlu tahu apa yang disuntik ke dalam payudara dan di mana suntikan itu dilakukan bagi mendapatkan rawatan lanjutan.
“Ada di antara pakar kecantikan yang bukan sahaja melakukan rawatan yang di luar bidang mereka secara haram, malahan berani menggunakan 'filler' yang tidak dibenarkan iaitu minyak silikon, seperti yang digunakan dalam industri perumahan atau pembangunan, sekaligus boleh merosakkan struktur payudara dan membahayakan nyawa.
Menurut beliau, rawatan invasif kecantikan payudara seperti yang tersebut hanya boleh dikendalikan doktor pakar bedah yang mempunyai lesen pertauliahan iaitu Letter of Credentialing and Privileging (LCP) 3 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berdaftar di dalam senarai pakar di Malaysia National Specialist Register (NSR).
“Antara rawatan kecantikan payudara invasif yang disyorkan adalah 'filler' menggunakan lemak sendiri. Secara umumnya, pemindahan sel lemak ialah suatu prosedur yang dilakukan bagi memindahkan lemak daripada satu bahagian badan, ke bahagian badan lain.
“Prosedur pemindahan lemak memberi kesan lebih baik. Prosedur ini hanya memberi semula sel baharu (sel lemak beserta dengan stem sel) yang hilang. Dengan tambahan lemak dan sel baharu yang tumbuh, payudara kelihatan jauh lebih tegang berbanding sebelumnya," katanya.
Sementara itu Dr Siti Muyassarah menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh melakukan rawatan 'filler' dengan pakar kecantikan kerana terpedaya dengan tawaran harga ‘tidak masuk akal’ selain perkhidmatan mereka yang mudah didapati.
"Jangan disebabkan nak harga murah, bukan setakat payudara menjadi cacat kekal, nyawa pula melayang,” pesannya ringkas.
#Kementerian Kesihatan #KKM #suntikan filler #Dr Siti Muyassarah Rusli
;