Henti merokok, tingkat kualiti kesihatan
Ehsan A Marisah
Januari 22, 2021 11:40 MYT
Januari 22, 2021 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Merokok sudah diketahui memberikan kesan buruk kepada kesihatan, namun tabiat itu boleh dihentikan melalui rawatan secara holistik bagi mewujudkan kualiti hidup yang lebih sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Klinikal Solace Asia, Dr. Prem Kumar Shanmugam berkata, rawatan untuk mengurangkan tabiat merokok boleh dibuat melalui kaedah biologi, psikologi dan sosial.
“Rawatan daripada segi biologi ialah dengan memberikan mereka (perokok) ubat-ubatan bersesuaian, di samping menilai kesan pembuangan, diet dan simptom-simptom dihadapi.
“Dari segi psikologi, sokongan berterusan orang terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan dapat membantu mengatasi tabiat ini,” katanya dalam diskusi webinar AWANI LINC bertajuk “Bahaya Asap dan Pengurangan Kemudaratan Tembakau” baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, dari segi sosial pula, seseorang itu dapat memberhentikan tabiat tersebut sekiranya mempunyai persekitaran sekeliling yang bebas daripada asap rokok.
Untuk rekod, Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015 hingga 2020 menunjukkan seramai 4.7 juta orang berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok di Malaysia.
Sementara itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan trend perokok dewasa semasa mengalami penurunan iaitu sebanyak 21.3 peratus.
Dalam perkembangan sama, Pakar Perubatan Keluarga Hospital Beacon, Dr Raja Ahmad Shaharul berkata, kesihatan dan kualiti seseorang perokok itu akan bertambah baik apabila mereka berhenti merokok.
“Nampak jelas kesihatan mereka semakin baik, kulit bertambah sihat, pernafasan semakin lancar dan risiko mendapat sakit jantung atau kanser juga dapat dielakkan walaupun baru seminggu berhenti,” katanya.
Namun beliau menambah, risiko merokok tidak akan hilang sepenuhnya sehingga seseorang itu berhenti merokok dalam jangka masa 10 tahun.
“Selepas 10 tahun, keadaan kesihatan jantung akan kembali seperti risiko seperti mereka yang tidak menghisap rokok,” katanya.
Sementara itu, penyanyi, Imran Ajmain berkata, selain memotivasikan diri untuk berhenti merokok, kesedaran berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan juga perlu dipraktikkan.
“Di sekeliling saya pada sewaktu itu tidak ada kesedaran untuk pergi berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hanya memikirkan cara dan usaha sendiri, termasuklah saya yang tidak pernah terfikir berjumpa dengan doktor.
“Aset terbesar apabila saya dapat mengawal dan mendisiplinkan diri untuk tidak merokok walaupun berdepan dengan persekitaran atau dikelilingi perokok.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat di media sosial dan carian internet mengenai rawatan untuk mereka yang ingin berhenti merokok di klinik-klinik kesihatan, termasuklah perkhidmatan psikologis,” katanya.
Sementara itu, Raja Ahmad Shaharul menambah, situasi paling membimbangkan adalah peningkatan pesakit kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif yang berpunca daripada menghidu asap rokok.
“Trend penyakit ini dalam kalangan perokok pasif semakin meningkat, namun apa yang membimbangkan adalah ramai tidak sedar asap rokok dihembus lebih berbahaya berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok aktif.
“Sebagai contoh, apabila seorang suami menghisap rokok di dalam kereta, perkara yang boleh menyebabkan kanser atau karsinogen ini boleh melekat di atas permukaan kerusi-kerusi dalam kereta.
“Jadi, kita yang tidak menghisap rokok ini mempunyai tanggungjawab untuk menasihati orang terdekat agar berhenti merokok di kawasan-kawasan yang memungkinkan asap itu dihidu,” jelasnya.
Dianggarkan hampir 85 peratus rakyat Malaysia merupakan golongan bukan perokok dan majoriti bukan perokok ini tidak berani menyuarakan hak mereka sebagai bukan perokok.
Kementerian Kesihatan (KKM) telah mewartakan 23 tempat larangan merokok bermula Januari 2019, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan 2018) bagi membendung peningkatan kes tidak diingini.
Ia termasuk semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, juga diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.
#merokok
#asap rokok
#Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau
#Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019
#AWANI LINC
#pengurangan kemudaratan
#harm reduction
#biologi
#psikologi
#sosial