Hebat! Ikan emas pun pandai main bola sepak

Isabelle Leong
September 18, 2020 17:40 MYT
Berkat usaha gigih dan sikap Yang Tianxin yang enggan berputus asa, lima ekor ikannya akhirnya berjaya menjaringkan gol selepas menjalani latihan selama tiga bulan. - Foto Douyin/Yang Tianxin
PASTINYA rata-rata peminat sukan bola sepak pernah mendengar mengenai kisah seekor sotong kurita yang dikenali sebagai Paul yang menjadi popular selepas meramal dengan tepat keputusan termasuk perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Namun pernahkah anda mendengar atau melihat aksi ikan emas yang boleh bermain bola sepak pula?
Rupa-rupanya mitos yang mengatakan kononnya seekor ikan emas hanya mempunyai memori selama tujuh saat itu tidak benar!
Ia dapat dilihat apabila sekumpulan ikan emas peliharaan seorang lelaki di China mampu mengingati pelbagai 'helah' yang diajar tuan ikan-ikan itu.
Pemilik ikan emas Yang Tianxin, dalam satu video terbitan South China Morning Post, berkata dia sangat meminati sukan permainan bola sepak sehingga sanggup mengubah akuarium ikannya menjadi seakan sebuah ‘stadium’.
“Saya telah memelihara ikan-ikan ini sejak kecil. Setelah ikan-ikan ini kenal dan dibiasakan dengan kita, ikan-ikan ini akan bermain dengan apa sahaja objek yang diberikan.
“Saya melatih mereka perlahan-lahan dengan memberikan makanan sebagai habuan setiap kali ikan-ikan ini 'menjaringkan gol',” kata Yang.
Umum tahu ia bukannya sesuatu yang mudah untuk mengajar manusia, apatah lagi melatih haiwan.
Yang yang membela ratusan ikan emas baka Ranchu itu mengakui berdepan kesukaran untuk melatih ikan-ikan berkenaan pada mulanya.
“Mula-mula, ia sangat sukar untuk melatih mereka kerana baka ini tidak begitu pintar.
“Jadi saya memerlukan masa yang lama untuk mengajar mereka.
“Pada ketika itu, ia sungguh bosan. Mereka akan kehilangan minat sekiranya saya tidak memberikan makanan kepada mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, bak kata pepatah,' alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan', berkat usaha gigih dan sikapnya yang enggan berputus asa, lima ekor ikannya akhirnya berjaya 'menjaringkan gol' selepas 'dilatih' selama tiga bulan.
“Tidak mungkin! Bola itu dikawal magnet”
Ramai yang kagum dengan ikan emas yang pandai 'menggelecek' dan membuat hantaran.
Namun, ada juga yang mempertikaikan ketulenan bakat ikan-ikan berkenaan dan tertanya-tanya sama ada bola tersebut dikawal oleh magnet.
“Lihat bola itu dengan lebih dekat, bola itu sentiasa berpusing.
“Jika ia dikawal oleh magnet, ia akan bergerak secara lurus.
“Anda boleh tahu berdasarkan pergerakan bola tersebut,” jelasnya.
Yang simpan hasrat untuk adakan ‘perlawanan bola sepak’
Ia menjadi impian Yang untuk membahagikan ikan-ikan peliharaannya mengikut warna supaya mereka dapat berentap di ‘medan perlawanan bola sepak’ yang dibinanya.
“Saya berhasrat membentuk dua pasukan iaitu pasukan merah dan pasukan hitam dan biar ikan-ikan ini bersaing.
“Saya berharap ramai lagi boleh dapat mengetahui mengenai ikan emas ini dan dapat melepaskan tekanan daripada pekerjaan harian," ujarnya.
#berentap #bola sepak #gol #habuan #hantaran #ikan emas #magnet #menggolek #stadium #tanki ikan #Yang Tianxin
;