'Heart for Heart Fun Run' dekati masyarakat demi gaya hidup sihat

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 15, 2019 09:52 MYT
Bukan sekadar dapat mengeluarkan peluh, ia antara lain dapat merapatkan ukuwah dan mengeratkan silaturahim antara peserta. Foto ihsan Kumpulan Megaklinik Zahran
Menyahut kempen gaya hidup sihat, acara larian santai menjadi salah satu aktiviti yang terus mendapat perhatian masyarakat.
Bukan sekadar dapat mengeluarkan peluh, ia antara lain dapat merapatkan ukuwah dan mengeratkan silaturahim antara peserta.
Acara larian santai juga tidak terhad penyertaannya, membolehkan penyertaan seisi keluarga dari pelbagai peringkat usia.
Lebih menarik, acara larian kini bukan sahaja dianjurkan organisasi larian dan sektor korporat tetapi ia juga menjadi pilihan pusat perubatan sebagai menyokong kempen hidup sihat.
Bertepatan dengan Bulan Sukan Negara, 'Heart for Heart Fun Run' menjadi pilihan Kumpulan Megaklinik Zahran meraikan pelanggan dan masyarakat setempat dengan cara yang berbeza, melalui acara larian yang diadakan di sekitar Bandar Baru Bangi pada Ahad. .
“Jika dilihat, belum ada lagi mana-mana klinik yang menganjurkan program menarik seperti ini dan hanya beroperasi sebagai sebuah klinik kesihatan semata-mata.
“Satu prinsip yang saya pegang, mahu menjadi yang pertama dalam apa juga perkara dan salah satunya menerusi usaha ini," ujar Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Nafidz Razak.
Tambahnya, ini merupakan penganjuran kali ketiga pihaknya dan menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan 1,500 penyertaan daripada pelbagai peringkat masyarakat.
Berbanding sebelum ini, acara juga turut dimeriahkan dengan penglibatan golongan artis yang hadir memberi sokongan dalam usaha menghangatkan lagi kempen amalan gaya hidup sihat.
Menyentuh mengenai sambutan, menurut Nafidz, meski pun sebelum ini cuma dianjurkan untuk masyarakat setempat, tahun ketiga menyaksikan banyak penglibatan daripada peserta di luar daerah.
“Ia termasuklah menerusi penglibatan golongan artis, selebriti media sosial dan juga pihak media, apalagi dalam penganjuran program menarik, santai dan menyeronokkan seperti ini,“ ujarnya lagi.
#acara larian #aktiviti riadah #Bulan Sukan Negara #fun run #gaya hidup sihat #Heart for Heart Fun Run #keluarga #klinik #Kumpulan Megaklinik Zahran #larian #Nafidz Razak #pusat perubatan #rekreasi
;