Haruki Murakami bakal bina perpustakaan, pamer karya, bahan penulisan

Nursyazwani Saiful Sham
November 5, 2018 10:09 MYT
Perpustakaan itu dijangka akan didirikan di Universiti Waseda, Tokyo, di mana Murakami pernah melanjutkan pengajiannya. Foto AP
Pencinta sastera pasti mengenali pengarang terkenal Jepun, Haruki Murakami.
Beliau cukup terkenal dengan karya yang menceritakan mengenai realiti kehidupan yang penuh keajaiban, mengajar untuk memahami ragam manusia.
Selain novel, beliau turut menulis cerpen dan karya bukan fiksyen, juga menterjemah karya berbahasa Inggeris ke Jepun.
Terbaru, berita baik buat peminatnya, Murakami mengumumkan akan mendirikan sebuah perpustakaan bagi mempamerkan karyanya.
Bukan itu sahaja, perpustakaan itu akan turut memuatkan bahan-bahan bacaan, tulisan dan segala karya yang tidak pernah diterbitkan sebelum ini.
Menurut laporan media antarabangsa, perpustakaan itu juga akan digunakan sebagai pusat pertemuan penyelidik dan pertukaran maklumat antarabangsa.
Perkara itu diumumkan beliau dalam satu kemunculan yang jarang sekali dilakukan penulis yang pernah tercalon untuk menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan ini.
Perpustakaan itu dijangka didirikan di Universiti Waseda, Tokyo, di mana Murakami pernah menuntut.
Pihak berkuasa Universiti Waseda dalam satu kenyataan berkata, proses penubuhan perpustakaan itu masih dijalankan.
Murakami pernah dianugerahkan Bintang Sasterawan pada 1987 menerusi novel romantik, Norwegian Wood.
Antara karya popular miliknya yang menjadi bualan hangat dalam kalangan pencinta sastera adalah 1Q84, Kafka on the Shore dan Wind/Pinball.
Penulisan terbaharunya, Killing Commendatore, kini sedang hangat di pasaran seluruh dunia.
#1Q84 #Haruki Murakami #Jepun #Kafka on the Shore #pengarang #penulis #sastera #Tokyo #Universiti Waseda #Wind Pinball
;