Hari Toleransi Sedunia: Elak guna media sosial sebagai platform bertengkar
Saraya Mia
November 16, 2020 07:58 MYT
November 16, 2020 07:58 MYT
KEBEBASAN bersuara di media sosial tidak bermaksud ia harus digunakan sebagai platform untuk sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perbalahan di platform itu.
Sebaliknya, masyarakat dalam talian, atau warganet, harus mengelak daripada mengeluarkan kenyataan negatif dan belajar menghormati pandangan berbeza.
Demikian dinyatakan penerbit berita Liputan 6, SCTV Indonesia, Muhammad Zaky, yang menjelaskan, ia merupakan antara cara Indonesia mengatasi perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat berbagai bangsa, agama dan latar belakang di media sosial,
“Walaupun ada undang-undang yang mengatur sebagai regulasinya, tetapi kita sebagai masyarakat diberikan kebebasan dalam menggunakan media sosial,” katanya kepada Astro AWANI, sempena sambutan Hari Toleransi Sedunia 2020.
Menurutnya, penting untuk semua pihak menghormati pandangan yang berbeza walaupun ia bercanggah dengan kepercayaan atau nilai masing-masing.
“Isunya ialah, bagaimana kita boleh menghargai pendapat orang lain dan membenarkan kebebasan menyampaikan pendapat?
"Jika kita tidak terima pendapat itu secara peribadi, lebih baik kita diam atau jangan beri pandangan yang boleh menyebabkan keadaan panas atau perdebatan di media sosial,” kata Muhammad Zaky.
Hari Toleransi Sedunia disambut pada 16 November setiap tahun bagi membangkitkan kesedaran terhadap kepentingan sikap toleransi terhadap bangsa, agama atau pandangan berbeza.
Sambutan secara tahunan itu diisytiharkan pada 1995 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
#PBB
#toleransi
#Indonesia
#nilai
#Malaysia
#Hari Toleransi Sedunia
#warganet
#dalam talian
#media sosial
#Muhammad Zaky
#perbalahan