Hari Suara Sedunia: Kesedaran tentang penjagaan suara di Malaysia masih rendah

Madiha Abdullah
April 15, 2022 21:56 MYT
Penjagaan suara sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan pengguna suara profesional sahaja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suara dianggap instrumen penting bagi golongan pengguna suara profesional seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara dan guru.
Namun penjagaan suara sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan ini sahaja kerana suara merupakan aset yang mempengaruhi kehidupan dan kerjaya seseorang, malah boleh dianggap identiti seseorang individu.
Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Marina Mat Baki berkata, kesedaran berkaitan penjagaan suara di Malaysia masih pada tahap yang rendah.
"Kalau kita sebut occupational hazard, masalah suara di Malaysia masih belum diterima sebagai hazard. Di luar negara, syarikat insurans ada menawarkan suara sebagai sebahagian daripada penjagaan.
"Sebagai contoh, seorang guru di London berjaya menerima pampasan kerana dia mengajar di kelas bersebelahan dengan jalan besar yang bising, mengakibatkan dia mengalami masalah suara.
"Kesedaran seperti ini masih kurang di Malaysia, walaupun pada hakikatnya suara yang baik penting untuk kualiti hidup.
"Kajian menunjukkan kualiti hidup mereka yang mengalami masalah peti suara suara dan suara serak, jauh lebih rendah berbanding mereka yang mengalami penyakit lain contohnya masalah buah pinggang, kencing manis dan lain-lain," katanya dalam sesi webinar Memasyarakatkan Kesihatan Rakyat anjuran UKM bertajuk Suara Bak Buluh Perindu, pada Jumaat.
Turut serta sebagai panel dalam webinar tersebut ialah pensyarah vokal dan penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat.
Tambahnya, selain pengguna suara profesional, khalayak umum juga berisiko mengalami masalah suara terutama bagi mereka yang merokok dan minum minuman keras, masalah alahan atau kesihatan seperti resdung serta faktor tekanan.
Hari Suara Sedunia disambut di seluruh dunia pada 16 April setiap tahun untuk meraikan fenomena suara, bertujuan untuk menonjolkan kepentingan suara dalam kehidupan.
Sementara itu, Syafinaz menjelaskan, penggunaan teknik yang betul merupakan sebahagian daripada aspek penjagaan suara bagi golongan penyanyi.
"Bakat dan teknik sama penting, tetapi dengan adanya teknik yang betul, ia boleh membantu penyanyi yang average menjadi bagus. Penyanyi average maksudnya dia boleh menyanyi, tidak sumbang dan boleh ikut tempo tetapi kualiti suara mungkin kurang.
"Penyanyi yang sudah ada bakat semulajadi pun, jika ada teknik yang baik, dia boleh mempertingkatkan lagi kemampuannya, malah akan membantu memberikannya keyakinan untuk menyanyi dengan selesa," katanya.
Ujar Syafinaz, matlamat utama menyanyi dengan teknik yang betul ialah untuk mengelak ketegangan dan kecederaan suara, bagi membolehkan seorang penyanyi menggunakan suaranya selama yang boleh.
"Bakat dan teknik, disokong oleh musicianship (pengetahuan tentang nada, ritma dan tempo) dan stail, akan membantu seorang menjadi penyanyi yang baik," tambahnya.
#suara #pengguna suara profesional #hari suara sedunia #penyanyi #Prof Dr Marina Mat Baki
;