Hari Penyu Sedunia di Pulau Mabul

Tan Su Lin
Mei 23, 2013 19:35 MYT
Bersempena dengan sambutan penyu sedunia pada hari ini, program kesedaran mengenai kelangsungan populasi penyu diadakan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
Ia melibatkan usaha memantau proses tumbesaran penyu-penyu laut di kawasan itu yang juga merupakan antara penyelidikan di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Antara lain, orang ramai berpeluang melihat secara dekat kajian berkenaan saiz penyu yang dikendalikan Pensyarah Kanan Penyelidikan Marin Borneo UMS, Dr Pushpa Palaniappan.
Penyu-penyu laut yang ditangkap di sekitar Pulau Mabul diukur saiznya sebelum ditanda untuk tujuan penyelidikan dan dilepaskan semula ke dalam laut.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan Sabah, Datuk Pang Yuk Min yang merasmikan sambutan Hari Penyu Sedunia di Pulau Mabul.
Katanya usaha pemuliharaan penyu perlu dipertingkat bagi memelihara penyu yang menjadi ikon pelancongan di Sabah khususnya dalam industri menyelam.
Selain itu, para pelancong dan pelajar-pelajar dari sekolah berhampiran turut berpeluang mendekati spesies laut itu menerusi program berkenaan.
Sementara itu, bersempena Hari Penyu Sedunia, WWF-Malaysia telah menerbitkan sebuah lagu bertajuk ‘Senyum Penyu, Senyum Kita’.
Lagu tersebut yang telah ditulis oleh pemuzik, Kamrul Hussin @ Waklong dan lirik oleh Arina Amin telah dinyanyikan oleh penyanyi Asmidar.
Mengambil inspirasi dalam perjalanan seekor penyu, lagu itu diharapkan akan mendorong bukan sahaja masyarakat tempatan, tetapi juga rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam melindungi makhluk terancam itu.
Malaysia adalah rumah kepada empat daripada tujuh jenis penyu laut di dunia, dan status mereka di dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) adalah di antara kritikal dan terancam.
Lebih 20 tahun yang lalu, terdapat penurunan sebanyak 99% untuk populasi penyu jenis Belimbing, penurunan 95% untuk penyu Lekang (Olive Ridleys) dan lebih daripada 60% penurunan dalam populasi Penyu Hijau.
#Hari Penyu Sedunia #IUCN #Pulau Mabul #WWF
;