Hari Malaysia: Lebih 5,000 pengunjung dijangka meriahkan Santai Bertanjak V3 di Kellie's Castle
Aida Aziz
September 12, 2023 08:15 MYT
September 12, 2023 08:15 MYT
BATU GAJAH: Program Santai Bertanjak V.3 bakal menggegarkan kembali budaya tradisional Melayu di negeri Perak setelah dua tahun tertangguh susulan penularan COVID-19.
Program yang memartabatkan pemakaian tanjak serta busana Melayu itu dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung ke lokasi bersejarah Kellie’s Castle, di sini, pada 16 September.
Pengurus Besar Kellie’s Castle, Zamari Muhyi berkata, bertepatan dengan Hari Malaysia, program tersebut bukan sahaja menjadi acara tahunan yang mendapat sambutan daripada pelbagai kaum, malah menarik minat pelancong asing.
“Sempena sambutan Hari Malaysia, program pemakaian tanjak dan busana Melayu itu bertujuan memartabat warisan Melayu yang mungkin semakin dilupakan.
"Ia juga mampu melestarikan keunikan pemakaian tradisional Melayu di samping mengimarahkan seni warisan nusantara menerusi busana Melayu, tarian, seni silat dan muzik tradisional.
"Program itu sekali gus dapat menarik minat dalam kalangan generasi muda untuk memakai tanjak yang bukan sekadar pada hari tertentu malah digalakkan setiap hari," katanya ketika ditemui.
Untuk makluman, hiasan kepala itu mempunyai signifikan tersendiri - tanjak bermaksud tanah yang dipijak. Ia sebahagian daripada destar yang bermaksud hiasan khas yang digunakan untuk bahagian kepala.
Contoh destar dalam alam Melayu ialah tengkolok, tanjak, getam, semutar dan tengkolok perempuan.
Selain itu, ada syarat tertentu bagi si pemakai, terutama sekali melibatkan warna tertentu yang mempunyai pantang larang.
Proses mengarang tanjak juga dilakukan dengan adab tersendiri. Kebiasaannya, mereka akan mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum memulakan kerja-kerja tersebut.
Kebiasaannya tanjak khusus untuk lelaki, bagaimanapun kaum wanita boleh memakai tengkolok yang mempunyai pelbagai jenis ikatan dan wujud hingga sekarang.
Dalam pada itu, Zamari menambah, program yang akan berlangsung pada 10 pagi hingga 5 petang itu turut dimeriahkan dengan acara sampingan seperti pertunjukan seni silat warisan, jualan herba perubatan tradisional, pertunjukan kompang, jualan tanjak serta busana.
"Pada tahun 2019 program ini menarik lebih 3,000 pengunjung manakala pada tahun berikutnya seramai 5,000 orang termasuk pelancong luar negara.
"Bagaimanapun pada tahun 2021 dan 2022 ia tidak dapat dijalankan susulan dunia dilanda pandemik COVID-19.
"Saya berharap tahun ini kunjungan akan bertambah dan orang ramai dijemput ke Kellies’s Castle untuk bersama-sama membangkitkan semula nostalgia zaman kegemilangan Melayu lama,” katanya lagi.