Hari Malaysia: Laksa Sarawak udang galah Lundu 'laku keras'
Hasimi Muhamad
September 15, 2019 05:34 MYT
September 15, 2019 05:34 MYT
Menampilkan udang galah sebagai penambah rasa dan daya penarik, sajian Laksa Sarawak yang diusahakan anak jati Lundu, Nor Hayati Mohd Hamdan, 35 tahun, nyata mempunyai kelainan tersendiri berbanding hidangan lain.
Siapa sangka perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan dua tahun lalu, kini mula menjadi 'buah mulut' dan menu wajib setiap kali penduduk setempat atau pelancong luar berkunjung ke daerah tersebut.
Berkat kegigihan usahawan muda itu, ibu kepada dua cahaya mata itu mula melebarkan empayar perniagaannya dengan membuka gerai makan yang diberi nama Kak Ham di Medan Selera Lundu.
Katanya, pengunjung berpusu-pusu seawal jam 10 pagi dan sanggup beratur untuk merasai keenakan laksa Sarawak resipi istimewanya.
Lebih mengujakan, setiap hari makanan Laksa Sarawak Udang Galah yang dijual digerai Nor Hayati “laku keras” apabila jualan melebihi 50 mangkuk setiap hari.
Malah, dia mengakui mendapat sambutan luar biasa setiap kali tiba musim keraian seperti Hari Malaysia.
“Keunikan laksa Sarawak ini kelebihannya adalah udang yang digunakan memang manis. Dalam satu hari saya masak lebih dua periuk (20 mangkuk hidangan) dan ada mencecah sehingga lima periuk.
“Biasanya saya mendapat bekalan udang segar dari orang kampung. Kalau ada bekalan mereka akan hantar terus kepada saya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Nor Hayati menambah kebanyakan pengunjung memberi komen positif dan sebagai chef, dia gembira pelanggan menyukai hidangan tersebut.
Malah, gerainya turut dikunjungi pelanggan pelbagai kaum dan agama serta pelancong luar negara yang tidak mahu ketinggalan merasai keenakan sajian tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, selain dari (penduduk) Kuching, ramai juga pelanggan yang datang dari luar negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Resepi (masakan) memang diwarisi turun-temurun dan sukatan (bahan masakan) juga lain daripada yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, pelanggan dari Indonesia, Hardiyanto Rahman berkata, salah satu sebab beliau berkunjung ke Lundu adalah untuk melihat budaya dan keunikan yang ada di daerah tersebut, selain dimaklumkan mengenai keenakan Laksa Sarawak.
“Ini merupakan salah satu daerah terdekat dengan Indonesia, jadi kita mudah untuk mengenal budaya dan ciri yang sama dengan Indonesia yang mana Lundu merupakan daerah terdekat
“Pada awalnya, saya tidak tahu ini adalah menu istimewa di Malaysia. Namun, saya dan kawan-kawan dimaklumkan bahawa ia satu menu yang menarik. Ini kali pertama saya mencubanya,” katanya.
Orang ramai yang mahu menikmati keenakan Laksa Sarawak Udang Galah tersebut, harga ditawarkan bermula RM10 hingga RM50.
#chef
#Hari Malaysia
#Kak Ham
#laksa Sarawak
#Laksa Sarawak Udang Galah
#laku keras
#Lundu
#Medan Selera Lundu
#menu wajib
#Nor Hayati Mohd Hamdan
#pelancong
#pelanggan
#perniagaan
#resepi turun-temurun
#udang