Hari Kebahagiaan Antarabangsa 2021: Peranan ibu bapa dalam memastikan kebahagian anak

Khairunnisa Kasnoon
Mac 20, 2021 14:03 MYT
Emosi kanak-kanak akan terganggu, tambahan pula dengan beban baharu, berdepan proses pembelajaran dari rumah, akan menjejaskan kestabilan emosi dan sosialisasi mereka. - Gambar hiasan
KEBAHAGIAAN bermaksud kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan sosial seseorang individu.
Bagi kanak-kanak, kebahagiaan mereka akan terjejas apabila perkembangan sosial mereka terbatas.
Pakar Psikologi yang juga Timbalan Presiden Majis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia , Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi impak kepada kebahagiaan umum termasuk kanak-kanak.
"Mereka tidak boleh keluar rumah, apabila mereka tidak boleh keluar rumah, mereka tidak boleh bermain dengan kawan-kawan, tidak boleh bersembang, ini meninggalkan kesan terhadap perkembangan emosi perkembangan sosial kepada kecerdasan mental," katanya.
Emosi kanak-kanak akan terganggu tambahan pula dengan beban baharu, berdepan proses pembelajaran dari rumah akan menjejaskan kestabilan emosi dan sosialisasi mereka.
"Mereka ini kanak-kanak yang aktif, dan di sini ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan ceria, sihat dan berada dalam keadaan seperti biasanya sebelum COVID-19," katanya.
Apabila kanak-kanak ini berasa emosi tidak stabil dan pergerakan fizikal terbatas, ini membuatkan mereka stres dalam diam.
"Apabila stres, mereka akan mula memberontak, mengganggu adik-adik yang lain, tidak mematuhi arahan ibu bapa, apatah lagi perlu melalui pembelajaran dalam talian," katanya lagi.
Apabila kanak-kanak tidak bebas, terutamanya tiada aktiviti yang disediakan ibu bapa, kebahagian mereka akan terjejas.
#Kanak-kanak #pendidikan #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #Malaysia #Hari Kebahagiaan Antarabangsa #pakar psikologi #Prof Datin Dr Mariani Md Nor