Hari Ibu: 8 perkara yang diingini ibu anda

Madiha Abdullah
Mei 10, 2015 17:35 MYT
Ibu anda tak perlukan kemewahan, cukup anda memahami apa yang ada dalam hati dan fikirannya.
Tentu ramai yang sibuk meraikan Hari Ibu yang jatuh hari ini. Antara pemberian yang biasa kita dengar diberi kepada ibu adalah bunga, makan tengah hari atau makan malam yang mewah, membeli-belah atau percutian.
Tetapi tahukah anda apa sebenarnya pemberian paling berharga yang diingini seorang ibu? Kami senarai 8 perkara untuk anda yang mungkin masih mencari idea hadiah terbaik untuk ibu tersayang.
1. Menantu/cucu
Kalau anda masih bujang, tentu sekali ibu anda mahu melihat anda berkahwin, punya seseorang yang akan menjaga anda. Jika anda telah berumah tangga, ibu tentunya mahukan cucu untuk dimanjakan. Penat bagaimanapun melayan kerenah cucu, tetapi percayalah, kehadiran anak-anak anda akan buat ibu anda rasa sangat seronok!
2. Pujian ikhlas yang tak berakhir dengan permintaan
Kita selalunya akan puji ibu kalau nak sesuatu bukan? Apa yang anda tak tahu, ibu anda sebenarnya dah penat mendengar pujian tidak ikhlas sebegitu.
3. Panggilan telefon bertanya khabar, bukan sekadar mengadu
Kalau telefon ibu, mesti nak tanya pendapat tentang lelaki, perempuan atau masalah kewangan. Ingat, walaupun dia ibu anda, tapi dia pun bosan apabila mendengar anda tak habis-habis bercerita tentang lelaki atau perempuan yang tak nak pun beristeri atau bersuamikan anaknya.
4. Berhenti merungut tentang kerja anda
Kalaulah ibu anda boleh cakap sesuatu, dia akan cakap "Matanglah sikit. Buat saja kerja dan jangan manja sangat!" Tetapi sebagai ibu, dia tentu tak nak anaknya kecil hati, jadi iyakan sahajalah.
5. 'Amukan' yang berakhir dengan permintaan maaf
Memang biasa untuk seorang anak mengamuk atau istilah bahasa Inggerisnya, throw tantrum. Biasanya apabila mengamuk, kita akan tunggu ibu mengalah dan pujuk kita. Sebenarnya ibu anda sangat mengharapkan anda yang mengalah, mengakui kesalahan dan minta maaf terlebih dahulu.
6. Pakai pakaian yang dibeli
Selalunya kita akan ditch pakaian yang dibeli ibu kita, bukan? Kononnya tak up-to-date. Percayalah, ibu anda tahu anda tak suka. Apa yang diingininya adalah anda menghormatinya dengan memakai pakaian itu walau sehodoh mana pun ia.
7. Jangan buat permintaan apabila balik kampung
Asal balik kampung sahaja, macam-macam kita demand. Masak itu ini, tolong basuh baju, gosok baju, kemas bilik, jaga anak dan macam-macam lagi. Helo, ibu anda bukan orang gaji, okey?
8. Belanja dia tanpa rasa bersalah atau menyesal
Nak keluarkan duit RM100 belikan baju cantik untuk ibu, itu pun kita berkira. Kan bagus bila bawa ibu ke pusat beli-belah dan beritahu dia, "Mak nak apa, ambil saja!" Senang hati dia, kan?
#Hari Ibu #Mother's Day
;