Hari Bumi: Terbitkan lebih banyak buku mengenai herba - Zaleha Ismail
Syafique Shuib
April 22, 2017 14:40 MYT
April 22, 2017 14:40 MYT
Sempena sambutan Hari Bumi 2017 hari ini, penaung Human and Nature Development Society (HANDS) Tan Sri Zaleha Ismail mencadangkan agar lebih banyak buku tentang herba tempatan diterbitkan sebagai rujukan dan panduan orang ramai.
Ini untuk menggalakkan individu untuk menanam herba tersebut tanpa perlu bergantung kepada produk-produk di pasaran.
"Ada pihak yang ambil herba ini, jual di pasaran dan jadi kaya raya!
"Namun semua ini boleh ditanam secara sendiri. Saya harap buku ini mempunyai maklumat tentang jenis herba, panduan tentang bagaimana hendak tanam herba dan bagaimana kita boleh mengambil khasiatnya," kata Zaleha ketika pelancaran Hari Bumi 2017 di Zoo Negara pagi tadi.
Tambahnya, cadangan penerbitan buku ini masih dalam peringkat awal namun Zaleha berkata beliau ingin mengetuai projek ini dengan perkongsian maklumat yang beliau perolehi.
Zaleha ditemui di ladang herba yang diusahakan oleh pihak HANDS dan Zoo Negara sejak 2015.
Ladang berkenaan mempunyai 70 herba.
Acara yang diadakan pagi tadi menyaksikan 120 sukarelawan dari HANDS, Service Civil International dan beberapa individu lain yang terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti menanam pokok, membersihkan sungai dan aktiviti meningkatkan kesedaran.
"Saya berharap anak-anak muda akan teruskan usaha ini sempena Hari Bumi agar mereka boleh memberi inspirasi kepada generasi seterusnya pula.
"Kita perlu lindungi bumi ini untuk generasi akan datang pula," katanya.
Hari Bumi disambut pada 22 April setiap tahun di seluruh dunia dengan elbagai acara diatur bagi menunjukkan sokongan kepada usaha melindungi alam sekitar.