Hari Buku Sedunia: Amalan membaca ubah keupayaan berfikir

Faida Rahim
April 23, 2023 18:26 MYT
Menurut kajian, dengan membaca hanya selama enam minit dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.- Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Amalan membaca mampu melatih individu menggunakan otak untuk memahami dan menafsirkan maklumat malah membantu meningkatkan daya ingatan dan keupayaan berfikir kritis.
Penolong Pustakawan Kolej Komuniti Selayang (KKSY), Rose Diana Ruslan memberitahu sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, pihaknya turut mengambil insiatif menganjurkan program dan pelbagai aktiviti Jom Baca bertujuan mendorong pelajar rajin membaca.
“Setiap kali pelajar melangkah masuk ke perpustakaan, saya sentiasa ingatkan mereka bahawa membaca akan memberikan perasaan yang tenang. Ia juga membantu mengurangkan tekanan dan stress belajar.
“Atas sebab itu juga, saya sendiri meluangkan masa 10 minit setiap hari membaca. Menurut satu kajian, dengan membaca hanya selama enam minit dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, pengalamannya bekerja hampir 19 tahun di perpustakaan banyak mengubah corak pemikirannya.
“Selaku kakitangan bertugas di perpustakaan, kami amat menggalakkan warga kerja dan pelajar berkunjung ke perpustakaan serta meningkatkan kemahiran penggunaan bahan di perpustakaan.
“Tidak kira apa jua jenis bahan bacaan yang diambil di rak, percayalah membaca membantu seseorang lebih fahami serta meluaskan cara berfikir serta cara hidup.
“Ia juga membantu meningkatkan keterampilan sosial seseorang dan memperoleh pengetahuan tentang budaya dan adat istiadat yang berbeza.
“Kita dapat belajar tentang bagaimana berinteraksi, bagaimana menghargai perbezaan dan bagaimana berperilaku di khalayak ramai,” akhirinya.
#Selayang #Kolej Komuniti Selayang KKSY #Rose Diana Ruslan #Hari Buku Sedunia
;