Hari Belia Negara di Melaka bakal tampil 10 segmen gaya hidup rakan muda
Bernama
April 22, 2024 08:30 MYT
April 22, 2024 08:30 MYT
ALOR GAJAH: Pelbagai program diatur sempena Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini melibatkkan 10 segmen gaya hidup rakan muda.
Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata bertempat di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, acara itu meliputi segmen litar, aktif, bumi, demokrasi, digital, ekspresi, muzik, mahir, niaga dan prihatin.
"Persediaan bagi menjadi tuan rumah sedang berjalan lancar dan kita telah mengadakan tiga mesyuarat bersama kerajaan negeri dan Kementerian Belia Sukan (KBS) bagi memastikan acara berlangsung dengan jayanya.
"Sambutan HBN2024 ini satu program yang amat penting dan bermakna untuk negeri ini setelah sekian lama tidak menjadi tuan rumah selain dilihat mampu menjadi tarikan terutama berlangsungnya Tahun Melawat Melaka (TMM2024)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh.
Katanya HBN peringkat negeri Melaka yang berlangsung pada 18 dan 19 Mei ini juga akan diisi dengan pelbagai program menarik antaranya debat, pidato, e-sukan, program sisa ke tunai dan pameran kenderaan.
Dalam pada itu Shanmugam berkata beliau berbesar hati dengan sambutan masyarakat terhadap penganjuran rumah terbuka tersebut yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
-- BERNAMA