Hargai pelanggan, peniaga beri apam balik percuma kepada ibu mengandung

Faida Rahim
Januari 1, 2023 21:21 MYT
Selain menghasilkan sendiri kacang kisar yang ditabur di atas apam balik, ibu tiga anak ini turut menjual apam balik sejuk beku yang tahan lama dan masih lembut dimakan -Gambar/ Astro AWANI
TAMPIN: Memulakan perniagaan apam balik sejak tahun 2012, Syahrina Ahmad, 38, memberitahu tidak menyangka perjalanan sebagai pengusaha pemanis mulut berjalan sejauh ini.
Kata Syahrina ketika ditemui Astro AWANI, permintaan terhadap apam balik pada musim cuti sekolah amat luar biasa.
“Kalau musim cuti sekolah atau perayaan, jualan boleh mencecah sehingga 10 kilogram sehari atau lebih 100 keping.
“Lagipun kedai saya terletak di dalam pasar Tampin. Bila cuti sekolah ramai yang ambil peluang pulang ke kampung. Alhamdulillah jualan positif,” katanya.
Sebagai pengusaha apam balik ‘Tampin 3’, Syahrina memberitahu apa yang menarik adalah pengunjung di kalangan ibu mengandung akan mendapat apam balik percuma setiap kali berkunjung ke gerainya.
“Salah satu cara untuk menghargai pelanggan kami adalah pemberian apam balik percuma kepada ibu mengandung yang singgah. Mungkin tidak seberapa pemberian saya tetapi diharapkan sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka,” katanya.
Tambah Syahrina, majoriti pelanggan di gerainya gemarkan perisa coklat dan jagung yang dikategori sebagai best seller setiap hari.
Menurut bekas kakitangan di sebuah butik terkemuka ini, gerai beroperasi setiap hari kecuali selasa.
Dalam pada itu, harga apam balik ‘Tampin 3’ bermula dari RM4 hingga RM10 dengan pelbagai perisa istimewa antaranya kacang, jagung, coklat dan keju.
Perniagaan yang diwarisi daripada abang iparnya sejak 11 tahun lalu ini turut menerima pengunjung yang datang dari jauh.
“Memandangkan Tampin tidak berapa jauh dari pusat percutian A'Famosa, Melaka ada juga pengunjung dari Kuala Lumpur dan utara termasuk Singapura yang datang singgah ke gerai.
“Walaupun bukan selalu, syukur dapat juga jamu pengunjung yang datang dari jauh,” katanya.
Selain menghasilkan sendiri kacang kisar yang ditabur di atas apam balik, ibu tiga anak ini turut menjual apam balik sejuk beku yang tahan lama dan masih lembut dimakan.
#peniaga #penjual apam balik #Pasar Tampin #Syahrina Ahmad
;