Hard Rock Cafe harap ada SOP baharu benarkan persembahan 'live band'
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 30, 2020 09:00 MYT
Ogos 30, 2020 09:00 MYT
SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada Mac lalu, banyak sektor dan industri berdepan saat sukar apabila tidak mampu beroperasi seperti sedia kala gara-gara pandemik COVID-19.
Sektor hiburan misalnya antara yang amat terkesan sehingga sekarang.
Masakan tidak, bermula daripada penghibur itu sendiri seperti penyanyi kepada penganjur, masing-masing terpaksa menanggung kerugian selepas peraturan semasa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Itulah rungutan yang sering didengari oleh pemain industri termasuk kafe hiburan terkemuka Hard Rock Café Kuala Lumpur (HRCKL) yang tidak terlepas merasai tempiasnya.
Kafe yang terkenal dengan persembahan muzik langsung itu kini tidak lagi seperti dahulu dan kelihatan janggal tanpa kehadiran 'live band'.
Pengurus Pemasaran dan Jualan Danish Zulfiqar berkata, hasil jualan harian HRCKL terjejas sehingga 60 peratus berbanding sebelum PKP dikuatkuasakan.
“Kalau nak diikutkan memang sangat terjejas buat masa ini. Tapi kita kena terima kerana semua industri di seluruh dunia juga terkesan.
"Bagaimanapun, HRCKL tampil dengan beberapa idea dan pelan, terutamanya membabitkan menu makanan yang baharu dan juga beberapa langkah yang difikirkan perlu ketika ini.
“Walau bagaimanapun, kita berdepan kekangan apabila live band yang menjadi kebiasaan dan daya tarikan utama masih belum dibenarkan oleh pihak berkuasa dan ia sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada HRCKL,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Jelas Danish, sebagai penganjur lokasi, HRCKL juga merupakan antara tempat bergantung atau menyumbang kepada artis-artis dan pemuzik.
“Saban hari kita sering dihubungi oleh mereka yang kebiasaannya mengadakan persembahan di HRCKL.
"Mereka biasa bertanya tentang perkembangan show dan sebagainya. Malah HRCKL saban hari dihubungi oleh pelanggan yang bertanyakan hal tersebut.
“Tiada apa yang kita mampu katakan melainkan perlu akur dengan perintah pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya lagi.
Tambah Danish, pihaknya menaruh harapan agar ada SOP baharu yang boleh dikeluarkan pihak berkuasa untuk membolehkan persembahan live band diadakan pada kadar atau ruang lingkup terhad yang membolehkan langkah keselamatan dilaksanakan.
“Katakanlah jika kita diberikan kebenaran untuk mengadakan persembahan live, tentunya kita akan melakukan langkah persediaan secukupnya, termasuklah pekerja yang akan menjaga semua pergerakan dan memastikan SOP seperti penjarakan sosial dan lain-lain dipatuhi oleh pelanggan,” jelasnya.
Buat masa ini, kata Danish, pihaknya bersyukur kerana beberapa menu makanan dan juga produk cenderamata HRCKL mendapat tempat di hati pelanggan selain perkhidmatan penghantaran yang juga disediakan pihaknya.
#Astro
#Astro Awani
#hiburan
#kerajaan
#keselamatan
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#operasi
#pandemik
#penjarakan sosial
#perintah kawalan pergerakan
#SOP