Harap biografi onak duri perjalanan hidup saya mampu cetus inspirasi - Lee Lam Thye
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 16, 2022 19:37 MYT
Jun 16, 2022 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas mengambil masa hampir enam tahun, akhirnya buku yang menceritakan perjalanan kehidupan terutamanya membabitkan karier politik dan segala khidmat kepada masyarakat oleh Tan Sri Lee Lam Thye berjaya dilancarkan hari ini.
Biografi berjudul 'Çall Lee Lam Thye! Recalling a Lifetime Service' yang mengandungi 11 bab itu menceritakan kepelbagaian onak duri serta cabaran yang ditempuhi oleh beliau sepanjang 50 tahun berbakti kepada masyarakat.
Meskipun mengambil keputusan untuk bersara dalam arena politik pada 1990 jelas Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia itu, langkah itu tidak pernah menghentikan semangatnya untuk terus berbakti kepada negara.
Malah hampir keseluruhan bab dalam buku yang mengandungi lebih 310 muka surat itu memiliki pengkisahan yang dianggap istimewa untuk dikongsikan kepada para pembaca.
"Saya harap bahawa apa jua pengalaman yang saya perolehi yang saya ceritakan dalam buku itu dapat diterima secara terbuka oleh semua wakil rakyat supaya mana yang mereka rasa boleh ambil manfaat maka bolehlah mereka ikut.
"Bagi sayalah, sesiapa yang ingin berkhidmat kepada masyarakat dan negara tidak semestinya ia hanya dapat dilakukan melalui politik. Jika mereka ada idea yang bernas atau kritikan yang membina untuk negara mereka boleh buat menerusi badan bukan kerajaan," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Beliau juga berharap agar kisah yang dimuatkan di dalam buku tersebut mampu memberi motivasi kepada mereka yang mempunyai sikap prihatin terutamanya golongan muda yang mahu menyumbang buah fikiran dan tenaga kepada masyarakat serta negara tanpa mengira bangsa dan agama.
Buku tersebut antaranya juga memuatkan secara lebih dekat kepada pembaca bagaimana beliau dari zaman mudanya banyak menghabiskan masanya dengan memberi fokus terhadap masalah dan isu membabitkan masyarakat di negara ini.
Buku tersebut diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan juga Mandarin dengan cetakan sebanyak 2,000 naskhah pada penerbitan pertamanya dan dijual pada harga RM50.