Hanya tinggal 100 ekor dugong di Malaysia

Tan Su Lin
November 2, 2016 18:45 MYT
Purata kematian dugong di negara ini direkodkan antara tiga dan lima ekor setahun. Foto AFP / AAMP / PIERRE LARUE
Masa depan dugong di negara ini semakin terancam sejak penemuannya pada lewat 1960-an.
Percaya atau tidak, kini dianggarkan hanya tinggal kira-kira 100 ekor dugong sahaja di seluruh negara, sekali gus berdepan ancaman kepupusan.
Hakikatnya, bilangan populasi mamalia akuatik itu amat sedikit dengan kebanyakannya didapati di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah.
Dianggarkan hanya tinggal 40 hingga 50 ekor di Johor, manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan juga Sarawak.
Situasi itu semakin meruncing dengan purata kematian dugong direkodkan antara tiga dan lima ekor setahun.
Menurut Pengurus Program yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Dugong di bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu, Dr Donna Kwan, antara faktor menyumbang kepada penurunan populasi hidupan laut berkenaan akibat tersangkut dalam pukat, selain pencemaran laut dan kemusnahan habitat hidupan berkenaan.
"Kadang-kala apabila pukat diturunkan sehingga dasar laut khususnya di kawasan berumput di mana dugong suka mencari makan, ia akan tersangkut pada pukat berkenaan dan lemas kerana ia perlu bernafas setiap 5-7 minit. Itu adalah punca kematian terbesar dugong," katanya pada sidang media mengenai konservasi dugong di Malaysia, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia telah menyediakan Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong di Malaysia (NPOA) bagi melindungi spesies berkenaan termasuk memelihara ekosistem rumput laut.
Seekor dugong dikatakan perlu memakan kira-kira 40 kilogram rumput laut sehari, serasi dengan gelaran diberikan kepada haiwan berkenaan iaitu 'lembu laut'.
Lindungi habitat
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan, kajian akan dijalankan bagi mengenal pasti kawasan rumput laut di Malaysia sebagai usaha memelihara dugong dan habitatnya.
"Kawasan yang ada dugong adalah kawasan yang ada rumput laut. Kalau tiada rumput laut, maka tiada dugong. Jadi kita perlu memelihara kawasan-kawasan rumput laut ini bagi memastikan dugong kekal dalam negara, kerana di dunia, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai dugong.
"Kalau tidak dipelihara satu hari nanti kita tidak akan ada lagi dugong di negara ini dan generasi akan datang tidak akan tahu apa itu dugong," katanya.
Hakikatnya, masih tidak banyak kajian dilakukan ke atas spesies terancam itu.
Menerusi Projek Penyelidikan Dugong dan Rumput Laut, badan antarabangsa, Global Environment Facility (GEF) telah memperuntukkan dana USD190,000 bagi tujuan penyelidikan untuk tempoh tiga tahun.
Projek penyelidikan berkenaan adalah projek serantau melibatkan lapan buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Madagascar, Mozambique, Vauatu, Solomon Island, Timor Leste dan Sri Lanka.
Kerajaan juga dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Mengenai Dugong pada bulan Mac tahun depan bertujuan memperkemaskan lagi tindakan bersama antarabangsa bagi memastikan kelangsungan hidup jangka panjang dugong dan habitat rumpai laut.
#Donna Kwan #dugong #Ismail Abu Hassan #kemusnahan habitat #mamalia akuatik #pupus
;