Hana, Da'i Syed bulan madu di Sabah, tunai umrah sambil lawat keluarga di Mesir

Gempak
Disember 5, 2022 11:20 MYT
Majlis pernikahan pasangan ini dihadiri 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, kenalan rapat serta pihak media. - Foto Instagram/Hana Ismail
TAHNIAH diucapkan buat personaliti dan pengacara cantik, Hana Ismail yang sudah bergelar isteri kepada Da’i Syed Iqmal.
Selepas dua bulan mengikat tali pertunangan akhirnya pasangan ini telah selamat bernikah dengan sekali lafaz. Menerusi majlis pernikahan pasangan yang diadakan di Masjid Ibnu Mas’ud, Ampang itu, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan yang juga wali, Ismail Dahwan dengan lafaz akad dalam bahasa Arab.
Pemilik nama sebenar Nurulhana Ismail, 36, telah menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas. Bagaimanapun jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Dalam majlis penyatuan hati tersebut, pasangan mempelai bersetuju tiada sebarang pertukaran dulang hantaran kerana mereka telah berbuat demikian ketika melangsungkan pertunangan pada Oktober lalu.
Majlis pernikahan pasangan ini dihadiri 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, kenalan rapat serta pihak media. Antara rakan selebriti yang hadir ialah Datin Seri Paduka Umie Aida, Sharifah Noorhasleenda dan Irma Hasmie.
Pada Sabtu malam juga pasangan tersebut telah diraikan dalam satu majlis resepsi di Shah Alam.
Seperti mana yang dilaporkan media, perkenalan antara mereka berlaku apabila Umie Aida bertindak selaku ‘orang tengah’ selepas Syed meluahkan rasa suka terhadap Hana.
Hana Anugerah Allah Bagi Da’I Syed
Pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful turut meluahkan Hana adalah satu anugerah Allah buat dirinya.
“Syukur saya menjadi seorang suami kepada Nurul Hana Ismail. Pada pagi yang mulia ini, kami dapat bersama-sama dengan ulama dan habib yang mendoakan kami.
“Tarikh nikah hari ini juga tiada apa-apa maksud, cuma dipercepatkat kerana tidak mahu proses berkenalan terlalu lama, hanya sebulan setengah saja.
“Kenapa saya memilih Hana, sebab keistimewaan dia banyak. Antaranya cantik budi pekertinya, budi bahasanya cantik dan suka ke majlis ilmu,” ujarnya.
Tunaikan Umrah Bersama
Bercerita tentang bulan madu, Hana memaklumkan akan ke Sabah dan seterusnya ke Makkah bersama suami.
“Minggu depan, saya akan ke Sabah atas urusan kerja dakwah. Alang-alang nak ke sana bawalah suami sekali.
“Sebulan selepas itu kami akan menunaikan umrah bersama-sama dan seterusnya melawat keluarga walid (ayah Da’i Syed) di Mesir,” katanya. - Mingguan Wanita
#Hana Ismail #Da i Syed
;