Hampir 1,000 sertai Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree 2022

Abd Razak Mohd Ali
Disember 17, 2022 17:37 MYT
Pelepasan peserta disempurnakan Yang Di Pertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof@Jusoh dilakukan pada 7.30 pagi. - Foto Astro AWANI
BAGAN SERAI: Acara kayuhan Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree 2022 di Bukit Merah di sini meriah apabila ia disertai hampir 1,000 orang peserta dari seluruh negara.
Acara anjuran Bukit Merah Resort dengan kerjasama Cylomotion dan Shimano itu meliputi kayuhan sejauh 58 kilometer di mana 40 peratus meliputi laluan jalan raya dan 60 peratus lagi melalui laluan “off-road”.
Pelepasan peserta disempurnakan Yang Di Pertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof@Jusoh dilakukan pada 7.30 pagi.
Turut hadir ADUN Semanggol, Razman Zakaria; Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, DSP Hudri Mohd Arshad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi M K Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi.

Faris di dalam ucapannya berkata, acara itu juga melibatkan kekuatan kru seramai 150 orang termasuk anggota anggota polis, Pertahanan Awam, bomba, paramedik serta marshal-marshal bermotor dan statik.
Katanya, acara melibatkan laluan Fast Train yang menguji ketahanan fizikal serta mental peserta dan
sembilan kategori dipertandingkan, antaranya Men Open, Women Open, Men Junior, Heavyweight, Gravel/ CX Open dan Fatbike Open.
Di samping itu, katanya, ia juga menggunakan catatan masa (RFID) dan diadili oleh ketua komisar dengan hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai, plaque dan jersi pemenang.
“Pihak M K Land dan Bukit Merah Laketown Resort amat berbesar hati dengan sambutan yang telah diberikan oleh kesemua penaja dan peserta. Dengan sambutan yang begitu baik ini, pelbagai program dan acara menarik akan terus diadakan oleh M K Land di Bukit Merah bagi untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung ke sini”, tambah Faris.
Beliau berkata, sempena musim cuti sekolah ini juga, terdapat pelbagai pakej menarik telah disediakan untuk para pengunjung menikmati kemudahan dan aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh Bukit Merah Laketown Resort.
Dalam masa sama, ujarnya, pelbagai usaha sedang dijalankan pada masa hadapan oleh M K Land bagi mempelbagaikan daya tarikan Bukit Merah Laketwon Resort sebagai destinasi pelancongan yang unggul dan terus berdaya saing.
#Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree #pelancongan #cuti sekolah #MK Land Holdings
;