Halaman rumah bertukar menjadi 'ladang' sayuran hidroponik
Astro Awani
Mei 9, 2020 21:38 MYT
Mei 9, 2020 21:38 MYT
Minat bertani ternyata bukan sekadar hobi buat seorang pegawai imigresen yang bertugas di Sarawak, Loretta Evelyn Deri.
Berkat berbudi pada tanah, dirinya mampu menjana pendapatan daripada hasil pertanian yang diusahakan melalui tanaman sayuran hidroponik.
Menariknya, minat untuk mengusahakan hasil tani itu bermula setelah dia berkunjung ke pameran agro pada dua tahun lalu.
Sejak dari itu, Loretta yang mesra disapa Olynn menanam hasrat untuk mewujudkan ladang sayuran hidroponik miliknya sendiri dengan mentransformasikan halaman rumah menjadi ladang mini.
“Sebenarnya apa yang dilakukan saya adalah tanaman dengan kaedah hidroponik. Apa yang ditanam kebanyakannya adalah organik.
“Saya mempunyai lima set hidroponik yang saya usahakan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah Olynn lagi, masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan sebaiknya dalam mempelbagaikan jenis sayuran.
Ini kerana katanya terdapat permintaan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Justeru, Olynn tidak melepaskan peluang ini untuk mengkomersilkan tanamannya.
“Saya menanam bayam Brazil. Ia sesuatu yang baharu di sini. Saya beri mereka cuba dan mereka menyukainya.
“Selain bayam, saya juga ada menanam cili hijau,” ujarnya.
Selain itu, menyentuh mengenai penggunaan racun perosak, kata Olynn, sekurang-kurangnya dia tahu sayuran yang diusahanya itu selamat dimakan kerana penjagaannya tidak melibatkan sebarang bahan kimia berbahaya seperti yang biasa digunakan ke atas tanaman lain di pasaran.
Namun, Olynn tidak keseorangan dalam mengusahakan tanaman di situ. Bagi suaminya, Roy Lincoln yang juga seorang guru, usaha itu dilihat mempunyai peluang besar dalam pasaran.
“Saya amat gembira melihat apa yang dilakukan isteri saya ini. Bukan sekadar dapat menjana pendapatan sampingan, aktiviti bercucuk tanam ini juga merupakan satu aktiviti yang amat berfaedah di mana hasil tuaiannya dapat dinikmati oleh keluarga dan kemudian dijual kepada orang ramai,” kongsinya.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Loretta Evelyn Deri
#Organik
#Perintah Kawaln Pergerakan
#PKP
#Roy Lincoln
#Sarawak
#Sayuran hidroponik
#Tanaman Hidroponik