Hairuddin hasil produk sambal bilis bantu orang ramai jana pendapatan
Bernama
Julai 7, 2021 16:02 MYT
Julai 7, 2021 16:02 MYT
KUALA TERENGGANU: Jika dahulu hebat beraksi di padang, siapa sangka bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar, 42, kini ligat di dunia perniagaan apabila produk sambal bilis yang diusahakan mendapat sambutan di luar dugaan.
Beliau berkata, bermula dengan pengeluaran 100 botol secara suka-suka, kini produk sambal bilis yang diberi nama DuoBotak itu telah mencecah jualan lebih 80,000 botol sejak dilancarkan pada April lepas.
Lebih bermakna katanya, produk yang diusahakan bersama seorang lagi bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohd Badhri Mohd Radzi, juga telah menjadi punca rezeki kepada 300 orang yang terkesan dan hilang punca pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.
"Saya amat bersyukur kerana produk yang menggunakan resipi keluarga ini diterima dengan baik dan mampu pula menjadi punca rezeki kepada ramai orang.
"Walaupun awalnya dihasilkan secara suka-suka, ketika itu saya sebenarnya ada memasang niat untuk berkongsi rezeki dengan cara membuka peluang kepada orang ramai di luar sana menjadi ejen walaupun tanpa modal atau dengan modal yang minimum," kata Hairuddin kepada pemberita.-- LAGI
Bekas penyerang kebangsaan itu berkata beliau hanya menggunakan saluran media sosial untuk mempromosikan produk yang boleh didapati dalam dua variasi iaitu sambal bilis dan sambal bilis petai premium yang dijual dengan harga RM25 sebotol seberat 475 gram.
Katanya, media sosial adalah platform yang berkesan dan mempunyai rangkaian luas terutama ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 dan masih berada dalam tempoh kawalan pergerakan.
"Produk ini dihasilkan dengan teknologi tinggi di kilang dan mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta logo MeSTI yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Oleh itu ia berkualiti terutama daripada segi rasa, kebersihan dan jangka hayat produk iaitu setahun," katanya yang merancang untuk mengeluarkan produk baharu DuoBotak dalam masa dua bulan lagi.
Tambah Hairuddin, walaupun baharu tiga bulan di pasaran produknya boleh diperoleh melalui ejen di seluruh negara dan Singapura.-- BERNAMA
#Hairuddin Omar
#bekas pemain
#bola sepak
#pasukan kebangsaan
#sambal bilis
#duobotak
#rezeki
#pencapatan
#COVID-19