Hadiah RM30: 'Kami tak mahu didik kanak-kanak dengan wang ringgit' - KJ

Madiha Abdullah
April 13, 2016 21:04 MYT
'Kanak-kanak ini perlu dididik dengan nilai dan sikap yang betul' - KJ
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak menafikan nilai hadiah yang diterima pemenang program Junior Cycling Malaysia (JCM) adalah kecil, namun tetap dengan pendirian bahawa ia dibuat atas dasar tidak mahu bakal-bakal atlet negara itu terdidik dengan wang ringgit.
Dalam kenyataan di Facebook, Khairy berkata, dalam usia yang masih hijau itu, mereka perlu diajar untuk menghargai nilai sebuah kemenangan bukan pada hadiah, tetapi pada semangat, maruah dan pengalaman.
"Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan," tulis Khairy.
Tambah Khairy lagi, sesiapa sahaja yang terbukti berbakat dan boleh menjadi aset dalam bidang sukan, tentunya akan dibantu dan diberi penghargaan, termasuk dari segi wang ringgit.
Dalam masa yang sama, beliau yang mesra disapa KJ, turut menegaskan kesemua peserta dan ibu bapa terbabit sedia maklum dengan hadiah yang disediakan, namun masih menyertai acara berkenaan atas dasar cinta akan sukan itu.
Isu hadiah kepada pemenang Kriterium Junior Cycling Malaysia (JCM) menjadi bualan apabila juaranya hanya menerima RM30, yang disifatkan ramai sebagai tidak munasabah.
#acara berbasikal #junior cycling malaysia #Khairy Jamaluddin
;