Had umur kahwin 14 tahun: Mereka tak matang lagi..
Nursyazwani Saiful Sham
September 24, 2018 14:53 MYT
September 24, 2018 14:53 MYT
Cadangan menurunkan had umur perkahwinan kepada 14 dan 16 tahun, masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki disifatkan sebagai ‘kaedah kebelakang’ sedangkan pihak kerajaan giat menyiapkan kertas kerja untuk menaikkan had usia minimum kepada 18 tahun.
Itu yang ditegaskan oleh Profesor Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Awal yang juga berpendapat kanak-kanak berumur 14 tahun belum matang untuk mendirikan rumah tangga.
Ini kerana jelasnya, mereka belum memahami tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang isteri, ibu dan menantu.
“Cadangan untuk berkahwin pada umur 14 tahun ini sesuatu yang macam kebelakang. Memang ada satu, dua kes permohonan yang mana perempuan berusia bawah 15 tahun sebelum ini.
“Tetapi umur 14 tahun ini sangat muda, kalau lihat data yang kami ada.. Majoriti yang berkahwin bawah umur ini adalah kerana mereka pernah terlanjur, perkahwinan sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah itu (zina).
“Jika hanya berkahwin untuk sekadar tutup malu, ia hanya akan menambahkan lebih banyak masalah seperti pasangan muda ini akan bercerai dalam tempoh perkahwinan yang singkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Beliau berkata demikian untuk mengulas saranan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dipetik sebagai mencadangkan had umur minimun perkahwinan diturunkan kepada 14 dan 16 tahun, masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki.
Jelasnya lagi, Mahkamah Syariah perlu melihat semula perkara ini dari segi perundangan dan menyarankan agar had umur perkahwinan bagi kanak-kanak dinaikkan kepada 18 tahun.
“Ini kerana sekurang-kurangnya pada umur 18 tahun mereka sudah lebih matang untuk memahami konsep perkahwinan dan tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang yang sudah berkahwin.
“Ini juga bagi mengurangkan kadar penceraian yang berlaku terutamanya dalam kalangan pasangan muda,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Pakar Psikologi Kanak-kanak, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, beliau berpendapat bahawa kanak-kanak pada usia 14 tahun masih belum bersedia dari segi psikologi untuk berkahwin.
“Pada saya umur 14 tahun itu belum bersedia dari segi psikologi untuk membawa tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka sebagai ibu dan isteri.
“Mampukah mereka untuk memenuhi kehendak suami dan keluarga pada usia itu? Bagaimana pula jika mereka akan menimang cahaya pada usia 15 tahun? Sudahkan mereka bersedia untuk menjaga bayi itu?
“Semua perkara itu perlu dikaji lagi. Ibu bapa memainkan peranan besar dan perlu memantau aktiviti anak-anak mereka terutamanya pada era ini yang pesat dengan alam maya,” katanya kepada Astro AWANI.