'Guru sebagai pendidik, bukan orang gaji atau hamba abdi!'

Madiha Abdullah
November 15, 2017 22:26 MYT
Peranan guru sebagai pendidik perlu dihormati dan tidak dipandang rendah ibu bapa. - Gambar hiasan
BUDAYA terlalu memanjakan anak adalah satu budaya yang tidak sihat dan perlu dihentikan.
Itu pandangan seorang guru, Mohd Fadli Salleh, yang melihat budaya sedemikian hanya akan melahirkan generasi yang mengada-mengada dan manja tidak bertempat.
Dalam satu kemas kini di akaun Facebook, Mohd Fadli mengulas tentang rungutan seorang ibu yang tidak berpuas hati dengan guru apabila anaknya terjatuh semasa sesi rehat.
Jelasnya, ibu bapa sepatutnya memahami tugas seorang guru sebagai pendidik, dan bukan hamba abdi atau orang suruhan.
Apa yang mengecewakan, kata Mohd Fadli, golongan ibu bapa ini adalah golongan yang dibesarkan pada era di mana istilah manja hampir tidak wujud.
"Ibu bapa ini datangnya dari generasi dahulu. Generasi tahun 70an, 80an dan 90an. Generasi yang begitu menghormati ilmu dan guru. Generasi kental dan tidak suka mengadu.
"Berbeza sungguh apabila mereka pula menjadi ibu dan ayah pula. Terus jadi manja, mengada-ngada dan menjengkelkan," tulis Mohd Fadli.
Guru itu berpendapat, peredaran masa tidak sepatutnya menjadi penyebab berubahnya sikap ibu bapa, apatah lagi jika perubahan itu tidak membawa hasil positif.
"Apakah peredaran zaman turut sama mengubah sikap kita?
"Golongan manja dan mengada-ngada seperti ini semakin membiak di negara kita.
"Nak anak dilayan seperti anak raja, tapi ingat, guru bukan orang gaji!" tulis Mohd Fadli lagi.
#guru #ibu bapa #kelas #Mohd Fadli Salleh #pelajar #sekolah
;