Guru kongsi kisah pelajar lembam lulus Sains dalam SPM
Madiha Abdullah
Mac 6, 2016 17:00 MYT
Mac 6, 2016 17:00 MYT
SEORANG guru memuat naik luahan hatinya ke laman sosial selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan baru-baru ini.
Luahan hati itu membabitkan seorang pelajarnya yang memperoleh 'G' atau gagal dalam kesemua subjek yang diambil kecuali Sains.
Pelajar berkenaan mengambil enam subjek yang terdiri daripada subjek asas bagi SPM.
Dalam luahan hati yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya, guru yang dikenali dengan nama Cikgu Izzat menyatakan pelajar tersebut lembam, sering kelihatan terpinga-pinga dan menjadi mangsa 'buli' rakan-rakan.
Cikgu Izzat berkongsi pengalaman tentang cara yang diaplikasikan di dalam kelas untuk mengajar, iaitu dengan melebihkan komunikasi dalam pengajaran.
Interaksi antara guru dan pelajar akan menghasilkan keakraban, dan seterusnya menaikkan motivasi pelajar untuk sekurang-kurangnya mencuba mengulang kaji dan memberi perhatian terhadap apa yang diajar.
Ini seterusnya akan menghasilkan keputusan peperiksaan yang baik, jika tidak cemerlang sekalipun.
Itu yang terjadi kerana subjek Sains yang diajar Cikgu Izzat, yang memperlihatkan pelajar berkenaan lulus.
Dalam masa yang sama, Cikgu Izzat juga membawa perhatian kepada isu didikan dan perhatian yang diterima pelajar lembam di rumah, dan turut berharap agar pelajar sebegini diberikan kasih sayang oleh keluarga di rumah.
Di akhir status, Cikgu Izzat mengingatkan bahawa guru memainkan peranan dalam membentuk minat seseorang pelajar terhadap satu-satu subjek.
Status itu sudah menerima lebih 35,000 'likes' dan lebih 9,000 perkongsian.