Guru kongsi kisah murid tahun satu bantu rakan berkeperluan khas
Astro Awani
Ogos 19, 2022 23:53 MYT
Ogos 19, 2022 23:53 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang guru berkongsi kisah menyentuh hati murid Tahun Satu membantu rakan sekelas mereka yang berkeperluan khas di sekolah.
Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Kapit, Sylvester Ronny Pulene, berkongsi di Facebook betapa dia berbangga melihat murid dalam usia semuda itu sedia membantu rakan sekelas mereka yang bernama 'J' biarpun tidak disuruh.
"Inilah erti persahabatan," katanya dalam satu catatan Facebook.
Cerita Sylvester, dia ketika itu sedang menuju ke kelas selepas waktu rehat, apabila dia melihat tiga murid berkenaan berada di hadapan tandas, dengan salah seorangnya membantu J menanggalkan tali pinggangnya.
Berkongsi gambar detik mengharukan itu, Sylvester juga memaklumkan murid itu turut membantu mengemaskan kembali tali pinggang J selepas dia menggunakan tandas, sebelum kesemua mereka berpegangan tangan dan berjalan pulang ke kelas.
"Murid 'J' ini sememangnya istimewa. Dia adalah bekas murid saya di pra sekolah. Dia masih tidak pandai mengurus diri sendiri. Bahkan di Tahun 1, dia masih lagi menggunakan pampers.
"Tetapi mungkin hari ini dia tidak guna pampers. Percakapan dia pun tidak berapa jelas (agak perlahan).
"Apa yang membanggakan ialah dia mempunyai ramai kawan yang prihatin. Bahkan kadang-kadang kawan-kawannya sanggup tolong dia beratur untuk ambilkan makanan di kantin," katanya lagi.
Setakat ini, perkongsian itu sudah menerima lebih 17,000 tanda suka dan lebih 10,000 perkongsian.