Guru Besar SK Sibu Laut, Padawan dan cerita jaket keselamatan
Malissa Sahari
April 12, 2018 09:44 MYT
April 12, 2018 09:44 MYT
Esplanade Telaga Air mula dipenuhi guru dan pelajar SK Sibu Laut, Padawan seawal jam lima setengah pagi.
Ketika itu, pelajar yang tinggal di Telaga Air berbaris panjang menaiki dua bot yang bakal membawa mereka ke jeti Kampung Santin.
Berusia di antara tujuh sehingga 12 tahun, senyum manis, gelak ketawa pelajar ini tetap kelihatan walaupun perlu menyelusuri Sungai Telaga Air.
Walapun perjalanan cuma mengambil masa 15 minit, ia sama sekali bukanlah alasan untuk mereka mengabaikan keselamatan.
Mana tidaknya, hampir setiap masa Guru Besar SK Sibu Laut, Wahab Selang mengingatkan murid-muridnya mengenai kepentingan pemakaian jaket keselamatan.
Hal sama tidak terkecuali buat guru dan juga ibu bapa.
"Pemakaian jaket keselamatan amat penting dan wajib termasuk saya sendiri sebagai Guru Besar.
"Saya tidak akan membenarkan murid-murid menaiki bot kalau mereka tidak memakai jaket keselamatan, walaupun ibu bapa mereka yang memandu bot itu, keselamatan diri mereka amat penting," katanya.
Wahab, 57 tahun, memberitahu pemakaian jaket keselamatan adalah satu kemestian yang perlu dititikberatkan.
Selain mementingkan keselamatan pelajarnya, kebajikan mereka juga tidak pernah disisihkan apatah lagi diabaikan.
Katanya, majoriti pelajar sekolah berkenaan merupakan anak nelayan dan cuma seorang sahaja anak cikgu.
Bukan mahu menunjuk, Wahab cuma memberi maklum bahawa perkhidmatan bot yang disediakan kepada pelajarnya juga adalah percuma.
Terdiri daripada 33 pelajar, 11 guru termasuk guru besar dan seorang pembantu tadbir, SK Sibu Laut tersenarai sebagai Sekolah Kurang Murid, SKM.
Label Sekolah Kurang Murid dijadikannya sebagai peluang memantau rapat perkembangan pembelajaran pelajar di situ.
Ketika ditanya mengapa pelajarnya kelihatan gembira setiap kali hendak ke sekolah, Wahab berkata, suasana yang tenang dan lokasi yang strategik adalah jawapan kepada persoalan tersebut.
"Kenapa mereka happy? Jawapannya sekolah saya sekolah kecil, Sekolah Kurang Murid ini sebenarnya, satu bilik darjah cuma ada enam atau tujuh murid sahaja.
"Mereka belajar dengan lebih selesa, kawasan SK Sibu Laut yang dikelilingi hutan dan jauh dari bunyi bising," katanya.
Wahab turut tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan syukur di atas pencapaian SK Sibu Laut.
"SK Sibu Laut merupakan sekolah yang catat prestasi terbaik, kami pernah menerima Anugerah Ketua Menteri, pencapaian yang sangat luar biasa, itulah sebabnya saya sayang dengan SK SIbu Laut," katanya.
Bagaimanapun Wahab turut memuji sokongan dan dedikasi ibu bapa kepada pelajar sekolah itu.
"Saya puji ibu bapa pelajar SK Sibu Laut yang sangat komited, pelbagai aktiviti sekolah yang kami anjurkan, mereka akan ambil bahagian sama," katanya.
Diakhir perbualan, besar harapan yang diimpikan Wahab, anak jati Telaga Air ini.
"Prasarana di SK Sibu Laut, Padawan perlu diberikan perhatian sedikit, kita tak dapat lari kemudahan yang sangat menuntut perubahan lebih lebih lagi kita sudah memasuki abad ke 21.
"SK Sibu Laut memerlukan lebih banyak bilik darjah, kemudahan di sekolah kami masih kurang jadi saya harap satu hari nanti atas usaha sama mungkin Dr Abdul Rahman Junaidi akan cuba membantu kita membangunkan SK Sibu Laut, Padawan yang saya rasa sangat berpotensi untuk memajukan murid muridnya," katanya.
Wahab yang bakal bersara Jun kelak sempat menyampaikan amanat kepada mana-mana individu yang boleh menyambung usaha guru di SK Sibu Laut, Padawan.
"Saya berharap ada pengganti yang meneruskan perjuangan yang telah kami usahakan.
"Saya tidak juga melupakan jasa guru SK Sibu Laut, Padawan yang mudah untuk bekerjasama selain berdedikasi kerana lebih mementingkan pendidikan anak anak," katanya lagi.