Gulai tempoyak ikan patin kebanggaan penduduk Temerloh
Nuradilla Noorazam
April 14, 2018 06:35 MYT
April 14, 2018 06:35 MYT
Sebut sahaja gulai tempoyak ikan patin, nama Selera Patin Bangau di Kampung Bangau Tanjung pasti menjadi kebanggaan masyarakat tempatan di daerah Temerloh, Pahang.
Kuah tempoyak berwarna kuning keemasan yang pekat dan isi daging ikan patin sangkar kampung menjadi pemikat kepada setiap pengunjung yang datang bukan sahaja dari Pahang tetapi juga Kuala Lumpur.
Namun tidak ramai yang tahu bahawa pengasas Selera Patin Bangau, Rohazlina Yusuf, 42 tahun, tidak makan ikan patin.
“Saya memang tak boleh makan ikan patin saya tidak tahu kenapa memang dari dahulu macam itu.
“Mungkin saya terikut arwah emak yang juga tak makan ikan patin sedangkan adik-beradik yang lain makan ikan ini,” jelasnya.
Rohazlina yang juga mencetus idea resipi gulai ikan patin dan memasaknya setiap hari berkata ramai antara pelanggan terkejut apabila mengetahui dia sendiri tidak makan ikan itu.
“Mereka tanya saya macam mana masak gulai ikan patin bila saya sendiri tidak boleh merasa ikan tersebut?
“Saya ada cara tersendiri. Saya masak dahulu kuah gulai tempoyaknya dan kemudian saya masukkan ikan. Bila ikan sudah dalam gulai, ramai pekerja termasuk adik-beradik yang akan merasa,” tambahnya.
Gulai tempoyak ikan patin yang siap dimasak Rohazlina. - Astro AWANI/Nuradilla Noorazam
Rohazlina memulakan perusahaan gulai tempoyak ikan patin ini setelah mendapat inspirasi daripada kejayaan perumahan ternakan ikan patin sangkar di Tanjung Bangau.
“Kampung ini adalah tempat pertama ternakan patin sangkar di Pahang. Jadi jika anda mahukan yang terbaik memang kena datang ke sini,” jelasnya.
Selera Patin Bangau yang bermula sebagai sebuah gerai dengan hanya Rohazlina sebagai pengurus dan tukang masak kini mempunyai lebih 14 pekerja.
Dengan hasil jualan lebih RM50,000 sebulan, Rohazlina boleh tersenyum bangga apabila mengenang kembali kesusahan yang pernah dialaminya.
Gerai Rohazlina yang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. - - Astro AWANI/Nuradilla Noorazam
Beliau yang memulakan perniaggan gulai ikan patin selepas kematian ibunya berkata cabaran sebagai seorang usahawan wanita banyak mengajarnya selok-belok perniagaan.
“Perniagaan ini banyak maknanya bagi saya. Dahulu saya terpaksa tutup kedai yang saya pernah buka kerana masalah pekerja. Menguruskan pekerja bukan mudah.
"Tetapi Alhamdulillah sekarang saya pastikan saya mengambil anak-anak orang kampung yang baru habis belajar dan sedang mencari peluang pekerjaan,” katanya.