Gula-gula jadi tarikan taman tema, teringat pada kilang Willy Wonka!
Agensi
April 10, 2021 11:45 MYT
April 10, 2021 11:45 MYT
INGINKAN gula-gula tanpa kalori?
Berkunjung ke Sugar Rush, anda akan menemui lollipop raksasa, kek cawan dan pelbagai lagi makanan manis di taman tema pop-up yang terletak di Los Angeles, Amerika Syarikat itu.
"Saya jatuh cinta dengan tempat ini. Sebaik sahaja melangkah masuk ke sini, saya merasa keterujaan seperti baru makan makanan manis," kata Guia Weingarten, seorang pengunjung.
Reuters melaporkan, taman dengan warna terang dan dibina dengan 350 gelen cat di tempat letak kereta seluas 50,000 kaki persegi di pusat beli-belah Woodland Hills Westfield itu, pada awalnya dirancang untuk dijadikan pusat tarikan pandu lalu ketika pandemik COVID-19 memuncak.
Tetapi selepas perintah berkurung dilonggarkan, perancangan diubah membolehkan pengunjung bersantai dengan patung unicorn, zirafah dan kanggaru, menjelajah koridor yang bercermin dan berinteraksi dengan maskot yang berwarna-warni.
"Sugar Rush adalah ibarat festival Burning Man dan Willy Wonka yang disatukan untuk menjadi hasil yang radikal dan itulah tarikan utamanya," kata Jasen Smith, Ketua Eksekutif Experiential Supply, yang mereka bentuk taman tersebut.
"Biarpun nampak seperti tempat untuk anak-anak tetapi sebenarnya kita mahu seluruh keluarga datang ke sini dan menikmatinya," tambahnya.
"Sebelum ini semua tempat memerlukan anda hanya berada dalam kenderaan tetapi di sini anda boleh keluar berjalan-jalan dan anda rasa selamat," kata Jade Alonso.
"Sedikit pelik tetapi ia pengalaman yang sangat hebat dan menyeronokkan," kata Carine Weingarten.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !