Grab Indonesia tarik balik iklan 'ngeri' berlumuran darah
Agensi
September 21, 2016 18:15 MYT
September 21, 2016 18:15 MYT
SYARIKAT aplikasi kongsi kenderaan Grab Indonesia menarik balik iklan perkhidmatan kongsi motosikal GrabBike selepas dikecam ramai kerana memaparkan imej ngeri.
Dalam iklan bertema #PilihAman (pilih keselamatan), seorang gadis bernama Dinda menjadi watak utama dan menurut suara latar akan “mengambil satu keputusan besar.”
Menggunakan kesan khas, luka dilihat perlahan-lahan muncul di wajah dan tubuh Dinda apabila dia menghampiri sekumpulan ‘ojek’ iaitu teksi motosikal tradisional Indonesia, sekali gus menghantar mesej tersirat dia akan terlibat dalam kemalangan jika memilih pengangkutan tersebut.
Netizen Indonesia mengecam iklan tersebut yang disifatkan terlalu ngeri dan tidak profesional kerana tiada siapa mampu menjamin kemalangan tidak akan berlaku sekiranya pengguna memilih GrabBike.
Iklan berdurasi 45 saat itu telah dipadam daripada saluran YouTube rasmi Grab Indonesia dan diganti dengan versi baharu tanpa imej Dinda yang berlumuran darah.
Pengarah pemasaran Grab Indonesia, Mediko Azwar dalam satu kenyataan menjelaskan iklan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya keselamatan jalan raya dan bukanlah untuk menimbulkan kejutan.
"Kami akui video itu mungkin ngeri dan mengganggu sesetengah pihak," tambah Mediko.
Grab merupakan syarikat aplikasi kongsi kenderaan yang semakin popular di Asia Tenggara dan baru-baru ini telah menerima suntikan modal pelabur sebanyak US$750 juta bagi meluaskan pasaran sekali gus menyaingi Uber.