Gordon Ramsay buka restoran pertama di Malaysia
Faris Danial Razi
Julai 17, 2021 11:00 MYT
Julai 17, 2021 11:00 MYT
NAMA chef terkenal, Gordon Ramsay sememangnya tidak asing lagi kerana kehebatannya dalam dunia masakan dan juga sebagai seorang personaliti televisyen.
Disenaraikan sebagai antara chef terbaik di dunia, anak kelahiran Scotland kini mempunyai 35 buah restoran di seluruh pelosok dunia – dari selatan New Zealand sehingga di kawasan pergunungan Maghribi.
Restoran paling terkenal adalah di London, yang dinamakan Restoran Gordon Ramsay dan telah dianugerahkan tiga Bintang Michelin sejak 2001.
Baru-baru ini, Ramsay, yang juga chef kedua terkaya di dunia, mendedahkan bahawa beliau akan meluaskan empayarnya dengan membuka sebuah restoran di Malaysia pula (restoran ke-36).
Memetik laporan The Star, chef yang memiliki Tujuh Bintang Michelin itu akan membuka satu lagi restoran mewah berkonsepkan ‘Bar and Grill’ di Hotel Sunway Resort, Kuala Lumpur.
Selepas proses pengubahsuaian keseluruhan kompleks hotel itu yang mencecah kos sehingga AS$60 juta (RM240 juta), ruangan di hotel lima bintang itu akan diubah menjadi lokasi sempurna untuk menempatkan restoran yang menyediakan hidangan sepanjang hari, setanding restoran milik Ramsay di London. Pengubahsuaian seluruh kompleks hotel ini dijangka siap pada suku keempat tahun ini.
Tema restoran yang akan menjadi tumpuan ramai itu membawakan konsep kontemporari dan ikonik, yang semestinya menjanjikan suasana menarik kerana pelanggan dapat menikmati pemandangan teman tema air Sunway Lagoon ketika menjamu selera.
Kata Ramsay, beliau membuat keputusan untuk membuka restoran pertamanya di Malaysia kerana teruja melihat pembangunan dan semangat luar biasa yang dimiliki oleh negara ini.
"Saya sememangnya mencintai Asia, sama ada daripada segi untuk membuat kerja-kerja penggambaran mahupun mengenai restoran di sana.
“Saya telah bertahun-tahun melancong ke merata tempat dan menghabiskan banyak masa di Hong Kong, Singapura dan baru-baru ini di Indonesia.
“Saya sering terpesona dengan Malaysia dan sangat gembira apabila ada peluang untuk membuka restoran di sana,” jelasnya dalam satu kenyataan e-mel bersama The Star.
Untuk makluman, walaupun kini Ramsay memegang Tujuh Bintang Michelin, beliau telah dianugerahkan 16 bintang Michelin sepanjang kariernya.
Pada 2019, Ramsay, 54 tahun, tersenarai sebagai selebriti berpendapatan ke-35 tertinggi dunia oleh Forbes; satu anak tangga lebih tinggi berbanding Rihanna.
Pada 2020, kekayaan bersih Gordon Ramsay dianggarkan bernilai AS$220 juta (RM926 juta), yang kebanyakannya datang daripada rancangan TV popularnya seperti Hell's Kitchen, Kitchen Nightmares dan Master Chef.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Gordon Ramsay
#chef terkenal
#restoran di Malaysia
#Sunway Resort
#London
#Scotland
#Malaysia
#Kuala Lumpur
#SantaiHujungMinggu