Golongan muda alami rabun tua sebelum usia

Bernama
Mac 30, 2024 05:00 MYT
Rabun tua atau presbiopia (presbyopia) sering dialami individu yang berusia 40 tahun, namun kini masalah berkenaan juga 'menghantui' golongan lebih muda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rabun tua atau presbiopia (presbyopia) sering dialami individu yang berusia 40 tahun, namun kini masalah berkenaan juga 'menghantui' golongan lebih muda apabila mata mula hilang kemampuan untuk fokus kepada objek dalam jarak dekat.
Pakar oftalmologi Pusat Pakar Mata KPJ Dr Helen Tan Chen Chen berkata menurut kajian, gejala dikenali presbiopia pramatang (premature presbyopia) itu kini boleh dialami oleh 10 hingga 12 peratus golongan berusia 30-an dan lazimnya bermula pada umur 36 tahun.
Beliau berkata umumnya presbiopia berlaku secara semula jadi akibat proses penuaan apabila kanta mata mula mengeras dan kurang fleksibel sehingga menyebabkan penglihatan pada jarak dekat menjadi kabur.
Bagi presbiopia pramatang pula, Dr Helen menjelaskan ia boleh berlaku akibat pelbagai faktor termasuk kekerapan penggunaan gajet dan pekerjaan yang memerlukan penglihatan jarak dekat seperti tukang emas, tukang jam dan juruelektrik.
"Penggunaan gajet secara kerap menyebabkan penggunaan mata untuk melihat jarak dekat bertambah, terutamanya bila melihat gajet terlalu lama, jadi orang akan perasan rabun dekat itu lebih awal. Begitu juga dengan orang yang kerja mereka perlu lihat objek kecil terlalu dekat," katanya kepada Bernama.
Selain itu, Dr Helen berkata masalah hiperopia iaitu rabun dekat sedia ada yang tidak dirawat, masalah kesihatan seperti diabetes dan anemia, pendedahan kepada sinar UV secara berlebihan serta merokok dan ketagihan alkohol juga menjadi punca kepada presbiopia pramatang.
"Untuk hiperopia, contohnya memang sejak kanak-kanak dia sudah ada rabun dekat mungkin tahap kerabunan pada kadar 50 dan tidak pakai cermin mata, jadi apabila masuk umur 36 tahun dan ke atas, rabun dekat itu menjadi lebih ketara. Sebab itu mereka perlu pakai cermin mata rabun dekat lebih cepat.
"Sinar UV pula boleh menyebabkan kanta mata menjadi tidak fleksibel, manakala penyakit diabetes dan anemia memang boleh menyebabkan masalah penglihatan," katanya.
Dr Helen bagaimanapun menolak tanggapan bahawa cahaya biru daripada skrin telefon bimbit, televisyen dan komputer riba menyumbang kepada gejala rabun dekat.
Beliau berkata pendedahan kepada cahaya biru boleh menyebabkan masalah sukar tidur kerana ia menyekat rembesan melatonin iaitu hormon yang mengawal waktu tidur.
Bagi mencegah presbiopia pramatang, Dr Helen menasihatkan orang ramai untuk merehatkan mata secara berkala ketika menggunakan gajet, membaca atau bekerja dalam tempoh yang lama.
"Rehatkan mata sekurang-kurangnya 20 saat setiap 20 minit dengan melihat objek jarak jauh. Jangan sampai dua, tiga jam tidak rehatkan mata kerana ini boleh meningkatkan risiko rabun dekat," katanya.
Beliau berkata pemakanan sihat juga penting bagi mengawal penyakit diabetes dan anemia yang menjadi antara punca presbiopia pramatang, selain mengambil makanan tinggi antioksidan seperti lobak merah, labu, sayur-sayuran hijau seperti kailan dan brokoli serta buah-buahan seperti beri biru dan strawberi.
Bagi mengelakkan simptom mata letih akibat presbiopia, Dr Helen berkata selain penggunaan cermin mata dan kanta lekap, mereka yang mengalami masalah itu juga boleh mencuba rawatan pembedahan 'presbyond lasik'.
"Pembedahan ini dijalankan dengan membuat pembetulan penuh pada mata dominan bagi melihat objek jauh pada satu mata dan sebelah lagi kita akan tinggalkan sedikit power dalam 150 untuk membantu melihat dalam jarak dekat. Ini dipanggil monovision.
"Presbyond lasik agak popular sekarang yang mana teknologi ini menggunakan gabungan kaedah monovison dan penyimpangan sfera pada kornea untuk memanjangkan fokus penglihatan supaya dapat melihat jauh dan dekat," katanya.
Dr Helen juga menasihatkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan mata jika mengalami simptom seperti ketegangan mata, sukar melihat dalam cahaya suram dan membaca tulisan kecil.
-- BERNAMA
#Kanak-kanak #golongan muda #rabun tua #presbyopia
;