Go Shop rai ulang tahun kelima, terus kerjasama erat dengan PKS

Madiha Abdullah
Oktober 31, 2019 20:30 MYT
Ulang tahun kelima Go Shop turut diraikan selebriti dan rakan artis.
Platform e-dagang milik Astro, Go Shop, berbangga dengan kerjasama bersama usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini menyumbang 95 peratus pendapatan platform tersebut.
Kerjasama baik itu diharapkan dapat menjadikannya satu hab untuk usahawan tempatan memasarkan produk yang berkualiti, sekaligus meningkatkan daya saing jenama keluarga tempatan.
"Kami akan terus bekerjasama dengan PKS, mereka merupakan rakan perniagaan yang kuat.
"Terdapat 700 PKS yang bekerjasama dengan kami hari ini dan kami akan terus menjalankan kerjasama erat dengan mereka," kata Ketua pEgawai Eksekutif Go Shop, Grace Lee.
Menyambut ulangtahun kelimanya, Go Shop terus dengan aspirasi memperkenalkan produk berinovatif dan berkualiti, di samping meningkatkan mutu servis dalam memenuhi kepelbagaian dan kehendak pelanggan.
"Lain pelanggan, lain pengisiannya. Jadi kami akan terus menghasilkan pengisian yang menepati kehendak pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.
"Dari sudut produk, kami akan bawa lebih banyak produk ke Malaysia dan bekerjasama dengan usahawan untuk menghasilkan produk yang membantu kehidupan pelanggan," kata Grace ketika ditemui pada sambutan ulang tahun kelima Go Shop di Bukit Jalil, pada Khamis.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Linda Onn, Datin Fouziah Gous dan Datuk Seri Aliff Syukri.
Turut diumumkan pada majlis itu ialah Go Shop kini boleh ditonton di MYFreeview, saluran 120.
Sempena sambutan ulang tahun kelima ini juga, Go Shop mengadakan pelbagai promosi menarik termasuk diskaun 5 peratus untuk pembelian di laman web dan aplikasi mudah, sehingga 30 November.
#Astro #Go Shop #perniagaan #perniagaan kecil dan sederhana #PKS #usahawan
;