Gila aplikasi baharu: Lelaki sibuk 'tangkap' Pokemon semasa isteri hendak bersalin
Madiha Abdullah
Julai 9, 2016 08:43 MYT
Julai 9, 2016 08:43 MYT
DEMAM Pokemon Go! nampaknya sudah mula melanda seluruh dunia, walaupun baru dua hari aplikasi permainan itu dilancarkan.
Aplikasi permainan Pokemon Go! secara dasarnya mengetengahkan konsep permainan menangkap dan berinteraksi dengan Pokemon.
Dan lelaki ini pula menjadi viral gara-gara keterujaan untuk 'menangkap' Pokemon, walaupun ketika isteri hendak bersalin.
Jonathan Theriot ketika itu sedang menunggu isterinya yang sedang menanti untuk menjalani pembedahan C-Section untuk melahirkan anak ketiga mereka.
Apabila salah satu watak animasi Pokemon, Pidgey, muncul di skrin telefonnya, Theriot tidak dapat menahan diri daripada menangkapnya.
Foto screen shot daripada 'tangkapan' itu dimuat naik ke laman Imgur, dan sudah dilihat lebih sejuta kali.
Komen-komen yang diterima juga agak menggelikan hati, apabila ramai yang memilih untuk mengusik Theriot agar dia menamakan anaknya itu dengan nama Pidgey.
Namun ada juga yang agak serius apabila berpendapat dalam keadaan seperti itu, Theriot sepatutnya memberikan perhatian kepada isterinya.
Namun dalam temuramah dengan portal Buzzfeed, Theriot berkata isterinya, Jessica, memahami minatnya dan hanya ketawa apabila dia menceritakan tentang perkara itu.
Anak perempuan mereka itu dinamakan Ireland Sage.
Jabatan Polis Wilayah Utara Australia dua hari lalu ada mengeluarkan amaran agar orang ramai yang bermain permainan itu peka dengan keadaan sekeliling, terutama sekali selepas ramai yang mengadu ketagih dengan permainan terbaharu Nintendo itu.