Gerhana bulan penuh 31 Jan ini: Ini aktiviti yang boleh dilakukan bersama
Ian Johan Ariff
Januari 24, 2018 16:28 MYT
Januari 24, 2018 16:28 MYT
SETIAP kali berlakunya gerhana bulan, orang ramai diajak berkumpul untuk melihat dan merakam fenomena itu.
Namun tahun ini, pemilik Falak Online, Shahrin Ahmad mengajak orang ramai melakukan aktiviti saintifik bersama-sama, dengan mengumpul data saiz umbra, iaitu bayang-bayang atau bahagian gelap pada bahagian bulan, sepanjang berlakunya gerhana bulan penuh tersebut.
Shahrin yang merupakan seorang penggiat astronomi, konsultan dan penceramah dalam bidang teknologi, pengkomputeran dan pembangunan sistem perisian astronomi, mendapat kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam projek sumber khalayak (crowdsourcing) untuk mengumpul data-data ini.
“Kita sasar untuk membuat sedikit kajian mengenai pergerakan bayang-bayang umbra gerhana itu nanti. Sebabnya, kalau berdasarkan pemantauan sebelum ini, saiz umbra ini berubah-ubah berdasarkan keadaan atmosfera bumi kita,’ jelas Shahrin.
Gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari ini dijangka bermula pada 7:48 malam dan berakhir pada 11:11 malam.
Oleh itu ramai yang mahu menyumbang kepada data ini harus memulakan pemantauan lebih awal untuk mengira saiz umbra itu, bermula pada sisi yang mula gelap, menandakan fasa gerhana sudah bermula.
Bulan dijangka gelap sepenuhnya bermula 8:51 malam hingga 10:07 malam semasa kejadian gerhana bulan penuh 31 Januari ini.
“Secara amnya, jika umbra ini besar atau tidak, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada bumi. Ia lebih menjurus kepada sifat ingin tahu saintis mengenai saiz sebenar umbra kerana sebelum ini terdapat banyak nilai atau variasi saiznya.” kata Shahrin.
Shahrin memberi contoh kejadian gerhana bulan semasa gunung berapi Pinatubo di Filipina meletus pada 1991.
Ketika letusan itu, gerhana yang berlaku amat gelap sekali dan saiz umbra sangat besar, disebabkan kesan ampaian habuk gunung berapi itu.
Untuk terlibat sama dalam aktiviti sains awam ini, anda boleh memantau pergerakan umbra ini dengan menggunakan kawah-kawah bulan sebagai tanda permulaan pada pukul berapa ia mula dilindungi bayang-bayang bumi.
Data ini boleh dikongsi bersama Falak Online dengan menggunakan borang yang diedarkan di lokasi cerapan dan juga borang atas talian di Falak Online.
Dapatan akan berdasarkan dua kumpulan akan yang membuat kajian iaitu pengkaji falak dari pihak jabatan mufti atau universiti dan satu lagi oleh orang awam.
Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara garisan yang sempurna dengan matahari dan bulan.
Ketika itu bulan berada dalam fasa purnama (bulan penuh sahaja) dan disebabkan bumi ini merupakan jasad yang oejal, ia akan menghalang cahaya matahari dan menghasilkan bayang di angkasa lepas.
Ada dua bahagian bayang-bayang bumi iaitu umbra dan penumbra, iaitu bahagian yang kurang gelap.