Gelaran Miss World semakin hampir jadi milik Malaysia
Syafik Shukri Jalil
Disember 2, 2018 10:06 MYT
Disember 2, 2018 10:06 MYT
WAKIL Malaysia ke pentas Miss World 2018, Larissa Ping, terus pamer prestasi luar biasa di Sanya, China.
Terbaru, anak Sarawak berusia 19 tahun itu berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Top 30 pertandingan tersebut.
Setakat ini, antara pencapaian Larissa termasuk Top 5 Best Talent, Top 5 Best Designer, Top 32 Top Model, Top 10 Mobstar dan terbaharu Larissa berjaya mengenepikan peserta dari Guadeloupe dalam saingan Head to Head Challenge.
Sembilan peserta lain yang turut layak ke Top 30 adalah Mauritius, Bangladesh, Singapura, Mexico, Venezuela, Chile, India, Thailand dan Uganda.
Head to Head Challenge merupakan sesi soal jawab di mana para peserta diminta untuk menyuarakan pendapat mengenai advokasi, isu semasa dan visi mereka dalam pertandingan tersebut.
Cabaran ini diadili oleh tiga juri iaitu Manushi Chhillar (Miss World 2017), Stephanie Del Valle (Miss World 2016) dan Megan Young (Miss World 2013).
Kemenangan ini bermakna Larissa mara secara automatik dan merupakan perwakilan kelapan dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam senarai finalis sejak Malaysia menyertai acara ini.
Semoga Larissa terus cemerlang dan bersemangat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.